Pernah mencuri perhatian apabila merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-32, pelakon sensasi, Sharifah Haneesya mengakui kejayaan itu tidak pernah benar-benar dirasai sepenuhnya.
Menurut Haneesya, selepas kemenangan, dia rasa tertekan dengan kontroversi yang melanda dirinya.
“Saya sebenarnya hampir terlupa pernah menang ABP kerana waktu itu terlalu tertekan dengan kontroversi yang melanda. Ramai kata kemenangan saya hanya kerana simpati, bukan hasil bakat,” katanya.
Menurut gadis tinggi lampai ini, tanggapan itu tidak adil terhadap dirinya dan menjadi dorongan untuknya bekerja lebih keras.
“Saya mula sertai kelas lakonan, belajar seni dengan lebih mendalam sebab saya mahu dikenali atas usaha dan bakat sendiri, bukan kerana kisah silam,” ujarnya.
Mengharungi fasa kontroversi dan lebih matang dalam mengendalikan kehidupan serta kerjaya dalam bidang seni, Haneesya bersyukur kehidupannya kini lebih tenang.
“Apabila dapat tahu nama saya tersenarai sebagai calon ABPBH kali ini, saya sudah cukup bersyukur. Ia satu bentuk penghargaan yang memberi semangat, bukan tekanan,” katanya.
Terbaharu, nama Haneesya tersenarai sebagai calon Top 10 bagi kategori Aktres Pembantu TV Popular.
Selain Haneesya, Sembilan calon lain yang tersenarai adalah Azah Aziz, Azza Elite, Dayang Areeda, Hannah Delisha, Liza Abdullah, Mas Anizan, Nadia Brian, Raja Azura dan Shaza Bae.
Terdahulu, proses undian Top 20 dihentikan sebagai elemen kejutan dalam kerancakan peminat mengundi artis pilihan secara percuma melalui laman web rasmi www.abpbh.com.my.
Melangkah ke peringkat seterusnya, penganjur ABPBH 37 mengumumkan proses undian membariskan kelompok Top 10 sebagai calon akhir dalam 16 Kategori Utama dan kategori sampingan, Ekstra! dilancarkan tepat jam 10 malam tadi hingga 11.59 malam 17 November 2025.
Proses undian boleh dilakukan melalui pilihan undian secara percuma dengan melayari laman web rasmi www.abpbh.com.my.