Almada meraikan jaringan untuk Argentina ketika berdepan Uruguay di Montevideo. Foto: AFP
PENGENDALI Argentina, Lionel Scaloni, meluahkan rasa puas hati dengan persembahan La Albiceleste selepas menundukkan Uruguay 1-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan di Stadium Centenario.
Lebih manis, kemenangan tipis itu diraih tanpa kelibat tonggak utama, Lionel Messi, sekali gus membuktikan kekuatan semangat berpasukan skuad kendalian Scaloni.
“Pasukan kebangsaan Argentina bergerak sebagai satu unit. Jika seorang pemain tiada, pemain lain akan menggantikannya tanpa menjejaskan rentak pasukan.
Kami kehilangan beberapa tonggak utama, tetapi kami juga mempunyai pengganti hebat yang bersedia beraksi. Pasukan ini sentiasa lebih daripada sekadar nama-nama besar,” katanya.
Almada Wira Argentina
Jaringan tunggal Thiago Almada pada minit ke-68 memastikan Argentina menebus kekalahan 0-2 kepada Uruguay dalam pertemuan terdahulu di Stadium La Bombonera, Buenos Aires.
Kemenangan ini juga mengukuhkan kedudukan Argentina di tangga teratas saingan kelayakan Amerika Selatan, mengumpul 28 mata daripada 13 perlawanan. Mereka kini berada enam mata di depan Ecuador, sementara Brazil di tempat ketiga dengan 21 mata.
Mengulas lanjut, Scaloni mengakui pasukannya menghadapi cabaran di bahagian kanan tetapi berjaya menyesuaikan strategi di separuh masa kedua.
“Uruguay mencipta beberapa situasi sukar, tetapi kami membetulkan kesilapan dan bermain dengan corak yang lebih baik selepas rehat.
Saya berpuas hati bukan hanya kerana menang, tetapi kerana cara pasukan bermain. Kami berjaya menyerap tekanan penyokong lawan, menyesuaikan corak permainan, dan menjaringkan gol pada waktu yang tepat,” ujarnya.