PUTRAJAYA: Bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang ditemukan lemas dalam kolam takungan terbiar di Presint 17 di sini semalam reda dengan pemergian anaknya itu selain menyifatkan arwah sebagai seorang anak yang baik.
Mereka sekeluarga amat merasai kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik itu lebih-lebih lagi arwah merupakan seorang yang peramah dengan orang sekeliling.
“Setakat ini sahaja rezeki ayah dengan adik, ayah reda dengan pemergian ini,” katanya ringkas yang enggan dikenali ketika ditemui Utusan Malaysia di Bilik Forensik Hospital Putrajaya hari ini.
Lelaki itu berkata, anak bongsunya merupakan seorang yang mesra dengan orang sekeliling selain disenangi oleh kawan-kawan dan juga jiran di blok perumahan mereka.
“Dia juga seorang yang aktif dan mempunyai karakter sebagai atlet selain sering menghadirkan diri dengan aktiviti kejiranan seperti gemar pergi ke surau,” katanya.
Difahamkan, jenazah kanak-kanak itu iaitu Muhammad Ishraff Islandar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya petang nanti selepas urusan forensik selesai di Hospital Putrajaya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, mayat kanak-kanak itu ditemukan oleh orang awam yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Mayat mangsa ditemukan dalam kolam berdekatan jejambat Presint 17 menghala Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi kira-kira pukul 5.12 petang. – UTUSAN