am@hmetro.com.my
Bachok: Jeritan anak yang meminta tolong menyedarkan Mohd Ezad Abu Hassan bahawa ahli keluarga mereka dihanyutkan ombak di Pantai Kandis di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, dia mendengar anaknya Mohd Ali Al Imran, 12, meminta tolong akibat ditarik ke tengah laut selepas mandi manda bersama beberapa ahli keluarga lain.
Ketika itu, Mohd Ezad, 40, berkata, dia melihat anaknya dan adik ipar, Ahmad Nurruddin Abdul Wahad, 21, sudah tenggelam timbul.
“Saya dan seorang lagi adik iparnya (Ahmad Badrul Naim, 32) bergegas terjun laut untuk menyelamatkan mereka.
“Saya sempat capai anak dan terus bawa ke darat (pantai), tapi bila toleh ke belakang (laut) dua adik ipar (Ahmad Badrul dan Ahmad Nurruddin) sudah hilang… tak tahu ke mana,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Ezad berkata, ketika kejadian ombak kuat dan kawasan lemas sangat dalam.
Sementara itu, ibu kedua-dua mangsa, Sawidah Mamat, 65 berkata, mereka bersama 20 ahli keluarga berkelah di pantai itu sempena cuti umum.
Katanya, ia turut disertai Ahmad Badrul yang juga pegawai bomba dalam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pulau Pinang bersama isteri dan dua anak kecil mereka.
Katanya, Ahmad Badrul pula baharu tamat pengajian di Kolej Teknologi Termaju (ADTECH) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Kedah dan tiba di kampung pagi tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd





