Selepas dikecam susulan video tular yang memaparkan tindakannya dianggap kasar terhadap seorang wartawan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming tampil mengakui kesilapan serta memohon maaf secara terbuka kepada media hari ini.
Dalam sidang media di Ipoh yang disiarkan menerusi laman Facebook rasminya, Nga dengan nada rendah diri berkata beliau menerima segala teguran dengan hati terbuka dan tidak berniat menyinggung mana-mana pihak.
“Sekiranya ada rakan-rakan media yang terasa hati dengan kata-kata saya, saya tarik balik dan mohon maaf.
“Mereka yang mengenali saya selama 30 tahun tahu bahawa saya sentiasa menghormati kebebasan media dan hak bersuara,” katanya.

“Saya sentiasa hormat kebebasan media..”
Menurut beliau, kejadian semasa pra-pelancaran program pencahayaan I Lite U di Bukit Bintang itu berpunca daripada salah faham, dan beliau bersedia bertemu dengan wakil media terbabit bagi menyelesaikan isu berkenaan secara baik.

Artikel lain: Koyak dengan soalan wartawan? Kor Ming perjelas -“Orang ditemu bual juga berhak betulkan…”
Difahamkan, dalam insiden berkenaan wartawan Utusan Malaysia bertanya sebab penggunaan Bahasa Inggeris bagi tema acara tersebut sebelum Nga menjelaskan ia bertujuan menarik pelancong antarabangsa.
Namun, nada arahan beliau kepada wartawan itu termasuk menyebut akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warga media dan masyarakat.

Tindakan berkenaan turut mengundang reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) yang menegaskan bahawa wartawan berhak bertanya soalan tanpa rasa takut atau diugut.
Sumber: FB Nga Kor Ming






