Alexander-Arnold (kiri) masuk mengantikan Bradley minit ke-67 semasa aksi liga di Anfield. Foto: Agensi
PENGENDALI Liverpool, Arne Slot, menegaskan bahawa beliau akan sentiasa menyokong pemainnya selepas Trent Alexander-Arnold diejek oleh sebahagian penyokong The Reds dalam penampilan pertamanya sejak mengumumkan akan meninggalkan kelab Merseyside itu.
Alexander-Arnold tidak akan lagi menjadi pemain Liverpool selepas bulan ini, namun beliau tetap diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal, yang berkesudahan seri 2-2 di Stadium Anfield pada Ahad.
Kemasukan Alexander-Arnold menggantikan Conor Bradley pada minit ke-67 mencemari suasana di Anfield yang sebelum itu meriah selepas Liverpool mendahului 2-0 pada separuh masa pertama yang didominasi pasukan tuan rumah.
Namun, bercakap selepas perlawanan, Slot tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa situasi tersebut akan mengubah rancangannya terhadap Alexander-Arnold dalam baki dua perlawanan terakhir musim ini.
Dalam sidang media selepas perlawanan, beliau menyatakan tidak teragak-agak untuk terus menggunakan khidmat Alexander-Arnold sekiranya pemain itu mampu membantu pasukan mencapai kemenangan.
“Saya rasa perkara yang baik tentang tinggal di Eropah ialah semua orang bebas untuk mempunyai pendapat, dan itu juga berlaku di Liverpool.
“Jadi, ada orang yang tidak begitu gembira dengannya, dan ramai juga yang gembira. Ada yang bertepuk tangan untuknya, dan ada yang mengejek. Saya rasa semua orang berhak memberikan pendapat masing-masing. Menjelang akhir, saya rasa orang ramai menjadi semakin positif.
“Tetapi bagi saya, ia mudah: Saya berhutang kepada pasukan, kepada peminat, kepada semua orang – untuk menurunkan pasukan yang boleh memenangi perlawanan bola sepak.
“Dan Trent menunjukkan mengapa saya membawanya masuk – kerana dia melakukan dua atau tiga hantaran luar biasa, dan kami sangat hampir untuk menang sebahagiannya kerana dia.
“Jadi, bagi saya, ia tidak begitu sukar. Dan bagi peminat, mereka bebas untuk memberikan reaksi yang mereka mahu. Tetapi saya akan sentiasa menyokong pemain saya, mereka yang saya pimpin, mereka yang memakai jersi merah. Saya akan sentiasa menyokong mereka, tidak kira apa pun,” katanya ketika diminta mengulas ejekan sebahagian penyokong terhadap pemain tersebut.