July 23, 2024

Saya sudah keluar Bersatu, tidak akan jadi calon – Tok Pa

Saya sudah keluar Bersatu, tidak akan jadi calon – Tok Pa


KUALA LUMPUR – Bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Mustapa Mohamed menolak tawaran untuk diletakkan sebagai calon oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika pilihan raya kecil (PRK) berlangsung di Parlimen Gua Musang atau Jeli.

Mustapa yang turut dikenali sebagai Tok Pa berkata, beliau telah meletakkan jawatan sebagai ahli dan semua jawatan dalam Bersatu pada 30 September lalu.

“Saya mengulangi sekali lagi kenyataan yang dikeluarkan pada 2 November 2022 bahawa saya sudah ‘pencen’ daripada politik apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Mustapa mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor yang sedia memberi laluan kepada beliau bertanding di Parlimen Gua Musang serta Jeli jika PRK diadakan kelak.

Kamaruddin bagaimanapun berkata, langkah menghantar Mustapa dan seorang lagi pemimpin ke Dewan Rakyat perlu mendapat persetujuan pucuk pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan muktamad, jika ada cadangan (calonkan Annuar dan Mustapa).

“Perbincangan dibuat peringkat atas kita (Bersatu Kelantan) menerima apa saja keputusan, selepas peringkat akar umbi memberi maklum balas kerana yang lebih penting kemenangan untuk Bersatu dan PN,” katanya kepada sebuah portal berita.

Pada Julai 2023 Mustapa yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas ketika itu memaklumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bekas Ahli Parlimen Jeli itu juga memaklumkan beliau sudah pencen dan Kamaruddin turut dilaporkan berkata, pihaknya sudah dimaklumkan perkara itu sebelum ini. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top