September 8, 2024

Saya sudah letak jawatan, kenapa masih hukum pemain KL City? – Khalid Samad

Saya sudah letak jawatan, kenapa masih hukum pemain KL City? – Khalid Samad


KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad melahirkan rasa kecewa kerana kelab yang pernah dipimpinnya terus bergelut dengan pelbagai isu meskipun selepas peletakan jawatannya.

Paling mengecewakan, ujar beliau, kelab yang disifatkan tidak sepatutnya mempunyai masalah kewangan itu kini berdepan dengan isu tunggakan gaji pemain yang tidak dibayar sekurang-kurangnya tiga bulan.

Jelasnya, beliau bimbang sekiranya situasi itu berterusan akan menyebabkan prestasi kelab yang kini dianggap cemerlang dalam saingan Liga Super merudum.

Malah, ujarnya, tidak mustahil ramai pemain hebat dalam pasukan itu akan mengambil langkah `angkat kaki’ dan berhijrah ke pasukan lain disebabkan tekanan ekoran isu terbabit, sekali gus merugikan pasukan KL City sendiri.

Dakwa Khalid, apa yang sedang dihadapi KLFA dan isu gaji pemain KL City yang tidak dibayar ketika ini adalah disebabkan amalan `politiking’ keterlaluan pihak tertentu yang mahu menerajui kelab tersebut.

Jelasnya, tindakan beliau meletak jawatan sebelum ini juga adalah bagi memastikan pemain KL City mendapat gaji memandangkan beliau mendapat maklumat peruntukan tidak akan disalurkan kepada pasukan itu sekiranya beliau masih menjadi Presiden.

“Saya sangat kecewa kerana apa yang diminta iaitu saya letak jawatan, maka duit akan masuk, tetapi janji ini tidak dipenuhi.

“Sehingga sekarang seperti mana yang kita tahu, kita (kelab) masih tunggu duit (tajaan) daripada Dewan Bandararaya Kuala Lumpur (DBKL). Ini memang tidak munasabah dan tidak wajar dibiarkan berterusan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, sukan bola sepak negara dikejutkan dengan pendedahan pemain naturalisasi kebangsaan, Paulo Josue yang mendakwa tidak mendapat gaji selama tujuh bulan.

Pemain berasal dari Brazil itu dilaporkan mendakwa, beliau sebenarnya sudah tidak mengingati bila tarikh tepat yang terakhir dibayar gaji oleh KL City kerana disebabkan terlalu lama bermain secara percuma untuk kelab tersebut.

Terkejut dengan dakwaan itu, Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn. Bhd., Syed Yazid Syed Omar dilaporkan berkata, barisan kepimpinan tertinggi kelab tersebut tidak dimaklumkan tunggakan gaji yang melanda pemain skuad itu sudah mencecah tujuh bulan.

Dalam pada itu, Khalid merayu politiking dalam KLFA dihentikan dan pihak pengurusan ketika ini mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah yang sedang dihadapi kelab berkenaan.

Jelasnya, beliau berasa kasihan dengan pemain yang meskipun dalam keadaan tidak dibayar gaji, namun masih setia dan bersemangat untuk turun padang dengan sebahagian mereka turut beraksi sebagai pemain negara.

“Saya melihat situasi dalam KLFA semakin meruncing, jadi saya perlu bersuara walaupun saya bukan lagi berada dalam barisan kepimpinan kelab ini.

“Saya juga sudah membawa isu ini kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Wilayah Persekutuan dan berharap akan ada penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top