'Saya sudah tiada anak lelaki'

'Saya sudah tiada anak lelaki'



zatuliffah@hmetro.com.my

Dungun: “Saya sudah tiada anak lelaki apabila kedua-duanya meninggal dunia dalam kemalangan.

“Lebih memilukan apabila mereka ‘dijemput’ dalam keadaan dan bulan yang sama,” kata Jamaludin Hussin, 53, bapa kepada Khairil Anwar, 20.

Jamaludin adalah bapa Khairil Anwar yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang maut dalam kemalangan yang berlaku di hadapan universiti itu di Kampung Sura Hujung, di sini, malam tadi.

Turut terkorban, penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakauanan, Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Selain itu, rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, parah.

Menurut Jamaludin, dia menerima panggilan daripada salah seorang kakitangan UiTM, kira-kira 9 malam sebelum bergegas ke Dungun dan tiba di sini, 3.30 pagi.

Katanya, kali terakhir dia dan isteri, Norma Mohammed Nor, 52, bertemu dengan anak bongsu daripada lima beradik itu pada 6 Oktober lalu ketika menghantarnya ke Dungun untuk memulakan semester baharu.

“Kami ke sini pada 4 Oktober dan balik ke Ampang pada 6 Oktober lalu dan memang terkejut apabila menerima berita ini.

“Tujuh tahun lalu, anak sulung, Muhammad Khairul Izzudin juga meninggal dalam kemalangan jalan raya di Senawang, Negeri Sembilan.

“Anak sulung dijemput Ilahi pada 3 Oktober 2017 dan kini anak bongsu pada 9 Oktober, malah (tempoh) masa (antara) kejadian itu juga hampir.

“Saya tak sangka kejadian ini berulang lagi apabila kehilangan dua anak lelaki akibat kemalangan pada bulan yang sama,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Dungun di sini, hari ini.

Jenazah Khairil Anwar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top