am@hmetro.com.my
Muar: Ibu mana yang tidak sedih apabila satu-satunya anak lelaki yang ada meninggalkan dia buat selama-lamanya selepas kemalangan jalan raya di Jalan Salleh-Bukit Pasir, di sini, awal pagi tadi.
Jamilah Diran, 56, sebelum ini kehilangan anak lelaki sulung kerana Covid-19, sekali lagi diuji dengan kehilangan anak lelaki bongsu, Amar Jazli Yusof, 26.
Amar Jazli menemui ajal bersama rakan karibnya, Nur Aiman Azharry, 21, selepas kereta dinaiki bertembung sebuah bas kilang dalam kemalangan pada jam 6 pagi tadi.
Menurut Jamilah, berita sedih kehilangan Amar hanya diketahui jam 9 pagi selepas mendapat panggilan rakan sekerja yang memaklumkan anak bongsu daripada empat beradik sudah dijemput Ilahi.
“Empat tahun lalu, saya kehilangan Mohd Khairuddin, kali ini Amar Jazli pula. Arwah adalah satu-satunya anak lelaki yang saya ada ketika ini namun dia pun ‘ikut’ abangnya.
“Amar pergi dalam keadaan tragis (kemalangan), sekarang tinggallah saya dan suami, Yusof Abu Bakar, 59, di rumah. Kami tiada lagi peneman di rumah, dua anak perempuan, Noraziemah, 32, dan Noratierah, 30, sudah mendirikan rumah tangga.
“Itulah yang membuatkan saya sedih, saya cuba menyejukkan hati berdepan kesedihan empat tahun lalu, kali ini kesedihan itu kembali menjelma,” katanya sambil ditenangkan dua anak perempuan.
Ketika tiba di Unit Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HSPF) di sini, Jamilah beberapa kali hampir pengsan sebelum dibantu dua anaknya itu.
Wanita itu dilihat beberapa kali menangis ketika dipapah masuk ke dalam unit forensik bagi melihat jenazah anak lelakinya.
Jamilah berkata, pada petang semalam, arwah memberitahu mahu mengikut Nur Aiman ke Melaka selepas beraya di rumah rakannya.
Katanya, arwah memberitahu akan pulang pagi ini sebelum memulakan kerja di sebuah pasar raya di bandar ini.
“Pada jam 12.50 tengah malam tadi, saya mesej dan hubungi arwah untuk bertanya di mana dia sekarang. Arwah beritahu dia bersama Nur Aiman dalam perjalanan pulang.
“Pada jam 7 hingga 8 pagi tadi, dia tidak muncul-muncul di rumah, ketika itu saya tidak syak apa-apa berlaku terhadapnya sehingga dimaklumkan berita menyedihkan,” katanya.
Sementara itu, ibu arwah Nur Aiman, Saira Haddin, 44, pemergian anak sulung daripada empat beradik itu hanya diketahui selepas suaminya, Azharry Siyes, 48, memaklumkan perkara sebenar menimpanya.
“Arwah minta izin untuk beraya di rumah rakan, saya benarkan. Bila diberitahu apa yang berlaku ke atas Nur Aiman, saya tidak mampu terkata-kata,” katanya.
Sepupu, Nur Aiman, Syahirah Zailani, 28, berkata, arwah adalah ada individu paling rapat dengan keluarganya sejak kecil.
“Kali terakhir arwah datang rumah sehari sebelum Aidilfitri dan kami berbuka puasa bersama-sama. Arwah makan banyak ketika itu, tidak seperti sebelum biasa.
“Rupa-rupanya itulah santapan terakhir arwah bersama kami sebelum kehilangannya buat selama-lamanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






