‘Saya tak kisah’ – Amorim

‘Saya tak kisah’ – Amorim


PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menegaskan bahawa beliau langsung tidak ambil peduli terhadap segala kritikan yang dilemparkan selepas pasukan bimbingannya tewas 1-4 kepada Newcastle United.

Kekalahan itu merupakan kekalahan ke-14 United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menyamai rekod paling buruk mereka dalam satu musim liga.

Dalam perlawanan tersebut, jaringan Alejandro Garnacho berjaya menyamakan kedudukan selepas Sandro Tonali meletakkan Newcastle di depan, namun babak kedua menyaksikan United tenggelam dengan dua gol Harvey Barnes dan satu jaringan Bruno Guimaraes.

Keputusan itu menyaksikan The Red Devils jatuh ke tangga ke-14 liga, ketinggalan tujuh mata daripada kelompok separuh teratas, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Amorim serta para pemainnya.

“Saya faham (kritikan), tapi saya tak kisah. Tiada apa yang lebih buruk daripada kalah perlawanan.

“Orang boleh kata apa sahaja. Saya tak mahu mempertahankan diri atau apa-apa. Kalau tengok kedudukan kami dalam liga, ia dah cukup menggambarkan segalanya. Kalah perlawanan adalah perkara paling sukar dalam pekerjaan ini.

“Kami lakukan banyak kesilapan yang menyukarkan peluang untuk menang. Sukar nak salahkan satu perkara sahaja, kerana semuanya menyumbang.

“Untuk menang lawan pasukan hebat seperti Newcastle memang sudah cukup sukar. Bila kami pula buat kesilapan yang bantu mereka, jadi makin sukar. Tapi saya yakin kami boleh bermain jauh lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, Amorim segera mengalihkan fokus kepada perlawanan timbal balik suku akhir Liga Europa menentang Lyon yang akan berlangsung Khamis ini di Old Trafford.

Perlawanan itu kini terikat 2-2 dan United perlu mencatat kemenangan bagi meneruskan kemaraan serta mengekalkan peluang terakhir mereka untuk meraih trofi musim ini.

Kejayaan menjuarai Liga Europa juga bakal membuka laluan ke saingan Liga Juara-Juara musim depan, satu peluang yang amat penting buat kelab yang sedang bergelut.

“Segala kesilapan yang kami lakukan hari ini, kami tak boleh ulangi pada Khamis nanti,” tambah Amorim. “Ia perlawanan yang sangat penting. Kami masih ada peluang ke Liga Juara-Juara.

“Tetapi ia pasti sukar. Kami perlu beri fokus penuh dan mara ke peringkat seterusnya. Ini adalah perlawanan yang berbeza. Kami perlu berikan sesuatu kepada penyokong kami,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top