Pelakon Toh Puan Syamim Freida mengakui, dia kini tidak lagi mengejar untuk menjaga sesebuah perhubungan ataupun persahabatan.
Katanya, dia lebih selesa memilih lingkungannya berbanding membuang masa untuk mencipta keserasian dengan kenalan baharu.
“Pada tahap hidup saya sekarang, saya tidak lagi rasa perlu memaksa sesuatu hubungan. Kalau serasi, kita serasi. Kalau tidak, itu pun tak mengapa.
“Memilih bukan bermaksud menjauh, tetapi tanda menghargai diri sendiri. Saya juga tidak lagi bertolak ansur dengan perkara yang tidak selesa hanya untuk menyesuaikan diri,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Mengulas lanjut, pelakon drama rantaian Sekali Lagi Cinta Kembali itu menegaskan dia tidak mahu lagi membazir waktu untuk berkawan dengan golongan yang sekadar mengambil kesempatan dalam persahabatan.
“Saya kini lebih berhati-hati dan memilih kepada siapa saya memberi tenaga. Saya lebih rela mempunyai lingkaran kecil yang boleh dipercayai daripada sekadar membesarkannya tanpa makna.
“Kerana akhirnya, populariti dan status mungkin memperkenalkan kita kepada ramai orang. Tetapi hanya hati yang ikhlas akan menunjukkan siapa yang benar-benar tulus,” ujarnya.





