'Saya tak mahu pengunjung rasa tertipu' – Saiful Apek

'Saya tak mahu pengunjung rasa tertipu' – Saiful Apek

'Saya tak mahu pengunjung rasa tertipu' – Saiful Apek


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon dan pelawak, Saiful Apek, 57, tampil menjelaskan kekeliruan berhubung pembabitannya dalam sebuah acara yang dijadualkan berlangsung di Dataran Putrajaya, esok.

Menerusi hantaran video di Instagram, anggota kumpulan Senario itu menegaskan dia tidak akan menyertai rakan-rakan Senario Reunion yang lain bagi menjayakan persembahan di acara berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

Menurut Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, timbul masalah komunikasi antara pihak penganjur bersama orang perantaraan memandangkan wajahnya masih digunakan dalam poster rasmi acara berkenaan.

“Saya pun tidak tahu sebenarnya salah faham ini berlaku di mana. Saya mahu meminta maaf bagi pihak saya kerana perkara ini bermula sejak awal lagi ketika sidang media tempoh hari, keluar poster yang saya akan bersama rakan-rakan Senario Reunion membuat persembahan di acara Anjung Syawal Putrajaya.

“Sebenarnya jika diikutkan, dari awal lagi saya memang tidak dapat bersama-sama dalam acara itu. Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada orang perantaraan dan individu itu pun sudah maklumkan kepada pihak penganjur yang saya tidak dapat sertai,” katanya.

Kecewa dengan situasi yang berlaku, Apek meminta pihak penganjur berkenaan mengambil tindakan segera dan bertanggungjawab memperbetulkan maklumat itu bagi mengelakkan pengunjung berasa tertipu.

“Saya mintalah jika boleh pihak penganjur terbabit. Kita tidak mahu ada masalah komunikasi dengan pengunjung nanti yang menyangka saya ada, tetapi apabila datang, mereka lihat saya tiada.

“Saya rasa pihak terbabit perlu bertanggungjawab dalam isu ini kerana orang sudah melihat poster saya sebanyak dua kali. Saya mahu maklumkan untuk acara itu saya tidak bersama, yang ada mungkin sahabat-sahabat saya yang lain sahaja,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top