“Saya Tak Merajuk Dengan Industri, Bekerja Bukan Kerana Anugerah” – Nadhir Nasar

“Saya Tak Merajuk Dengan Industri, Bekerja Bukan Kerana Anugerah” – Nadhir Nasar


Pelakon, Nadhir Nasar akhirnya tampil menjernihkan spekulasi selepas hantarannya di aplikasi X menimbulkan persoalan ramai sehingga ada yang menyangka dirinya seolah-olah berkecil hati dengan industri hiburan.

Namun, Nadhir atau nama penuhnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 29, telah menafikan dakwaan tersebut sekaligus menegaskan dia masih komited dengan dunia seni.

“Saya tak merajuk dengan industri langsung. Saya masih bekerja, masih berlakon… tak timbul isu saya jauh hati dengan sesiapa.

“Saya baru lima tahun dalam industri. Bukanlah hebat sangat pun, masih banyak yang saya perlu belajar,” katanya.

Menurutnya, persepsi kononnya dia ‘kecewa’ kerana tidak memenangi anugerah juga tidak pernah bermain di fikirannya.

“Ramai tanya kenapa saya tak menang anugerah. Dari dulu saya dah pegang satu prinsip, kita bekerja bukan kerana anugerah,” katanya.

Bagi Nadhir, kemenangan bukanlah kayu ukur utama seorang pelakon, namun sebaliknya perkara yang lebih penting baginya ialah kejujuran dan ketulusan dalam menghidupkan karakter yang diberi.

“Kita bekerja dengan ikhlas. Saya percaya rezeki Tuhan akan sampai tepat pada masa yang sepatutnya.

“Tak ada apa yang saya kejar. Kalau umur panjang, saya masih boleh menang anugerah pada usia 42 tahun… atau 55 tahun sekali pun.

“Tak ada siapa kata saya wajib menang masa tengah ‘panas’. Saya bukan macam tu,” katanya lagi.

Nadhir berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana filem Klepet baru-baru ini.

Walaupun tidak mengejar glamor, Nadhir tetap mengakui dia tetap menyimpan cita-cita untuk membawa pulang trofi Festival Filem Malaysia (FFM) suatu hari nanti.

“Kalau boleh, memang saya sasarkan kemenangan di FFM. Setiap anugerah ada nilai sendiri, tapi untuk menang itu rezeki.

“Kalau ditakdirkan menang, Alhamdulillah… itu hasil kerja keras kita dalam setiap drama atau filem.

“Bagi saya, semua anugerah adalah kemenangan. Tak ada istilah anugerah mana lebih hebat atau tidak. Kalau tak menang, saya akan usaha lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadhir kini membintangi sebuah filem komedi, Klepet yang bakal ditayangkan pada 27 November ini.

Selain Nadhir, filem tersebut turut menampilkan barisan artis hebat tanah air lain seperti Meerqeen, Aedy Ashraf, Joey Daud, dan ramai lagi.





Source link

OR

Scroll to Top