‘Saya tak pasti ini perlawanan bola sepak’ – Slot sindir taktik Newcastle

‘Saya tak pasti ini perlawanan bola sepak’ – Slot sindir taktik Newcastle


PENGENDALI Liverpool, Arne Slot, menyuarakan rasa kurang senang terhadap corak permainan Newcastle United selepas pasukannya mencatat kemenangan dramatik 3-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James’ Park.

Perlawanan yang sarat dengan kontroversi dan insiden panas itu menyaksikan pemain muda sensasi Liverpool berusia 16 tahun, Rio Ngumoha, muncul wira The Reds apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-100, selepas Newcastle bangkit menyamakan kedudukan 2-2 meskipun beraksi dengan 10 pemain.

Namun begitu, Slot meluahkan rasa kurang puas hati terhadap pendekatan lawan yang dianggapnya lebih banyak bergantung kepada bola mati dan lontaran jauh berbanding taktikal permainan moden.

“Saya tidak pasti sama ada ini benar-benar satu perlawanan bola sepak. Ia hanya satu demi satu situasi bola mati, lontaran jauh bukan sesuatu yang banyak melibatkan taktik.

“Tetapi saya gembira dengan cara kami bertahan dan kekal fokus,” ujar Slot.

Menurut statistik yang dikeluarkan Opta, hanya 40.8 peratus daripada keseluruhan masa permainan menyaksikan bola berada dalam permainan sebenar menjadikan ia rekod paling rendah dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak Februari 2010.

Selain itu, suasana di stadium turut direncatkan oleh spekulasi berterusan mengenai hasrat penyerang Newcastle, Alexander Isak, yang dikatakan mahu berpindah ke Liverpool.

Keadaan itu nyata membangkitkan ketegangan, baik di bangku penonton mahupun atas padang.

Perlawanan itu turut dicemari kekasaran apabila pemain sayap England, Anthony Gordon, dilayangkan kad merah sebelum tamat separuh masa pertama susulan terjahan keras terhadap kapten Liverpool, Virgil van Dijk.

Sebagai rekod, keseluruhannya, 32 kekasaran direkodkan dalam perlawanan ini yang tertinggi setakat musim ini.

Slot mengakui permainan sangat mencabar pada awalnya, malah berkata kelebihan bermain dengan seorang tambahan tidak membawa banyak manfaat apabila Newcastle memilih untuk melengahkan permainan.

“Ia satu separuh masa pertama yang sukar. Namun kami berjaya mendahului 1-0.

“Bila mereka tinggal 10 pemain, secara logiknya ia kelebihan besar buat kami. Tapi bila penjaga gol ambil semua sepakan percuma, kelebihan pemain pun tidak begitu membantu,” jelas Slot lagi.

Sementara itu, Gordon memuat naik kenyataan maaf di media sosial, mengakui kesalahannya sambil menegaskan tiada niat untuk mencederakan Van Dijk.

“Saya hanya cuba mencetuskan tenaga dalam permainan, tetapi saya tersilap timing. Saya juga sudah bercakap dengan Virgil selepas perlawanan, dan dia faham situasi itu.

“Saya tetap bangga dengan semangat juang pasukan dan sokongan luar biasa penyokong. Saya akan kembali lebih kuat, seperti setiap kali sebelum ini,” tulis pemain lincah berusia 24 tahun berkenaan.



Source link

OR

Scroll to Top