KUALA KANGSAR – “Saya tak peduli, serik, kecaman dan sindiran,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas terdapat beberapa pihak yang melontarkan kata-kata berbaur sindiran terhadapnya kerana menggunakan perkataan seperti ketimbang sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen baru-baru ini.
“Semasa Belanjawan, saya tak kecam dan maki orang. Saya pakai songkok senget sikit pun dia marah, pakai baju Melayu dan capal pun tak kena.
“Kemudian saya guna istilah baru macam ketimbang pun dia tak faham. Sepatutnya, kita menjadi pemimpin perlu tingkatkan penguasaan bahasa.
“Dulu tiada perkataan alaf, saya gunakan. Dulu tiada perkataan mampan dan telus saya perkenalkan. Tidak popular perkataan kesenjangan, kita popularkan.
“Kita didik anak-anak supaya menggunakan bahasa (Melayu). Sebab itu saya nasihat kawan-kawan semua parti, angkatlah nama Malaysia, buat kerja.
“Kalau nak ‘gaduh’ tunggu pilihan raya, ‘bergaduhlah’. Sekarang kita angkat martabat negara dan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Padang Rengas di Arena Square Pekan Isnin, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak khususnya pemimpin yang menyalahguna kuasa mereka demi kepentingan ‘poket’ mereka.
“Saya tidak akan tolak ansur dengan mana-mana pemimpin sekarang yang guna kuasa.
“Dia nak kayakan diri dia, nak curi duit, nak ambil kontrak saya akan lawan balik habis-habisan. Itu prinsip saya.
“Sekarang ini takdak kontrak melainkan tender, kalau nak runding, rundinglah, Kalau nak sakau tak boleh. Itu dasarnya,” tegasnya.
Sementara itu, Anwar menjelaskan bahawa beliau tiada masalah tidak mengambil gaji sebagai kerana masih menikmati elaun Ahli Parlimen serta kemudahan lain yang diberikan kepadanya sebagai Perdana Menteri.
“Saya tak ambil (gaji) sebab saya rasa dah berhempas pulas berjuang, masuk keluar penjara, kena terajang, maki hamun, fitnah dan diaibkan berpuluh tahun.
“Sekarang Alah takdirkan saya menjadi Perdana Menteri, maka (saya) buatlah sebaiknya, jangan fikir soal diri, tetapi fikir soal rakyat. Ini yang saya hendak buat,” jelasnya. – MalaysiaGazette