Shah Alam: “Saya tidak pernah membuat masalah dengan orang,” demikian luahan Faisal Halim dalam sidang media hari ini yang juga kemunculan pertamanya di khalayak umum selepas menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, awal bulan lalu.
Pemain berusia 26 tahun yang adalah tonggak utama Selangor FC (SFC) dan Harimau Malaya itu berkata beliau melayan semua orang sama rata selain tidak sombong kepada sesiapa sahaja yang mendekatinya, sama ada peringkat atasan mahupun bawahan.
Dikenali dengan perwatakan ceria, beliau berkata kemungkinan terpaksa mengubah karakter untuk menjadi ‘sombong’ selepas ini bagi keselamatan diri.
“Saya selalu senyum kalau jumpa orang. Lepas ini mungkin perlu sombong untuk kebaikan sebab saya terlalu baik dengan semua orang.
“Saya tidak tahu saya ada musuh ataupun tidak sebab saya tak pernah buat masalah dengan orang,” katanya di Pusat Latihan Selangor FC di sini hari ini.
Bapa kepada seorang anak lelaki itu mengakui sukar buat dirinya apabila hanya dapat memeluk anaknya empat atau lima hari lalu selepas kejadian berkenaan.
“Saya rapat dengan anak, setiap kali pergi luar negara, anak akan demam, rindu ayah. Selepas kejadian ini selama satu bulan tak dapat sayang dan peluk anak saya.
“…tapi (sekarang) belum dapat tidur bersama anak. Anak saya adalah kekuatan saya, semangat saya. Saya berharap apa jadi saya terima dengan reda, hati terbuka, dapat kembali memberi satu ‘hadiah’ untuk anak,” katanya.
Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Seterusnya pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd