Sungai Buloh: “Saya tak pernah sehari tak bercakap dengan mama. Sekarang bila saya panggil (dan) dia tak sahut, saya rasa kosong.”
Demikian luah Farah Natasya Faizal, anak kepada suami isteri yang parah selepas terbabit kemalangan dengan pikap jenis Nissan Navara di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah Plaza Tol Jalan Duta, di sini Sabtu lalu.
Mengimbas kejadian itu, Farah Natasya berkata, sebelum kejadian dia ada menerima pesanan WhatsApp daripada ibunya pada 2.54 petang memaklumkan sudah hampir tiba di Plaza Tol Duta.
Ketika itu, ibu dan bapanya dalam perjalanan dari Alor Setar untuk ke Kampung Baru bersama seorang sepupu.
“Saya baru lepas mandi dan terus balas mesej. Saya dah siap nak turun ambil mereka sebab rumah kami jenis kondominium, jadi kena tunggu di bawah.
“Tapi apabila nampak hujan lebat, hati saya mula rasa tak sedap,” katanya kepada Buletin TV3.
Farah Natasya berkata, selepas beberapa mesej tidak dibalas, dia mula resah lalu cuba menghubungi ibunya, namun panggilan dijawab sepupu yang memaklumkan ibu dan bapanya terbabit kemalangan.
Dia kemudian bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, melihat sendiri detik menyayat hati apabila bapanya terbaring di atas jalan, manakala ibunya dalam keadaan separuh sedar di dalam ambulans.
“Saya panggil mama (selepas kemalangan) dia beri maklum balas tapi tak buka mata, tak bercakap.
“Saya ikut dia ke hospital. Sampai di hospital, mama dah tak balas langsung. Gerak jari pun sikit saja,” katanya dalam nada sebak.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, pasangan suami isteri menaiki motosikal jenis Benelli TRK 502 cedera dirempuh dari arah kanan oleh sebuah pikap jenis Nissan Navara menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan.
Mangsa lelaki berusia 53 tahun retak tulang selangka dan luka pada kaki, manakala isterinya, 49, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dan ditidurkan selepas mengalami pendarahan pada kepala, patah tulang rusuk kanan serta buku lali.
Suspek berusia 32 tahun, tampil membuat laporan polis pada hari kejadian dan direman dua hari sebelum disambung reman hari ini.
Farah Natasya berkata, bapanya kini sedang menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke Zon Kuning di Hospital Sungai Buloh.
Sebagai anak, katanya, dia tidak sanggup untuk menonton rakaman video kemalangan membabitkan ibu bapanya, namun tetap menuntut keadilan dan mahu pemandu pikap Nissan Navara terbabit bertanggungjawab sepenuhnya.
Keluarga mangsa turut menyerahkan siasatan kepada pihak polis dan berharap pemandu berkenaan dikenakan hukuman yang setimpal.
Terdahulu, polis memaklumkan suspek yang ditahan kerana disyaki memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan berkenaan bukan pemilik sebenar kenderaan pacuan empat roda terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, dilapor berkata kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd