'Saya terjebak pelaburan ini disebabkan tarikan tokoh agama'

'Saya terjebak pelaburan ini disebabkan tarikan tokoh agama'



nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Tujuan saya menyertai pelaburan itu bukan disebabkan keuntungan semata-mata tetapi kerana percaya dengan imej agama dibawa oleh individu berpengaruh berkenaan,” kata Ros, 62.

Ros adalah antara 65 individu membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mendakwa ditipu individu bergelar Datuk.

Menceritakan pengalamannya, Ros berkata, dia tertarik untuk membuat pelaburan di syarikat hartanah dimiliki lelaki berkenaan selepas mengikuti perkembangan dirinya di media sosial.

“Saya melabur sebanyak RM30,000 untuk satu lot saham pada 2022 sebelum membuat keputusan untuk menarik balik pelaburan pada Oktober 2022 kerana masalah kewangan.

“Pelbagai ayat manis dijanjikan mereka kepada saya selepas surat penjualan semula saham diberikan. Namun sehingga kini, tiada satu sen wang pun diberikan kepada saya sama ada dalam bentuk dividen atau pulangan semula modal,” katanya pada sidang media di pejabat MHO, di sini, hari ini yang dikendali Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Ros berkata, dia menyertai pelaburan itu atas dasar kepercayaan kepada individu terbabit yang turut dipercayai melantik dua penasihat syariah terdiri daripada tokoh agama dikenali ramai.

“Sejujurnya, saya bukan jenis orang yang senang terpengaruh dengan orang biasa. Apa yang menyebabkan saya terjebak dengan pelaburan ini disebabkan tarikannya menggunakan tokoh agama.

“Mereka kerap maklumkan kepada kami apa diusahakan ini adalah untuk membantu sesama kita dan perkara itu yang menyebabkan saya tersentuh hingga tertarik untuk menyertai pelaburan berkenaan,” katanya yang juga pesara kerajaan.

Seorang lagi pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 53, berkata, dia kagum dengan perjalanan hidup individu bergelar Datuk berkenaan yang mendorongnya menyertai pelaburan itu.

“Saya sudah lama mengikuti perkembangan individu itu di media sosial dan tertarik dengan perjalanan hidupnya yang dulunya miskin kini menjadi jutawan.

“Disebabkan itu, saya dan arwah isteri membuat keputusan untuk melabur sebanyak RM120,000 pada Jun 2022 dengan dijanjikan dividen sebanyak 20 peratus setahun,” katanya yang juga seorang guru.

Bagaimanapun selepas beberapa bulan menyertai pelaburan itu, Ismail berkata, dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila tiada mesyuarat agung tahunan diadakan.

“Malah, hibah dijanjikan sebanyak lima peratus pada 2023 dan tujuh peratus pada tahun lalu tidak diberikan sepenuhnya kepada kami (pelabur).

“Apabila ditanya mengapa tiada mesyuarat agung dilakukan sehingga kini, pihaknya memberikan alasan berdepan masalah termasuk berkaitan audit,” katanya yang membuat laporan polis di Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang lagi pelabur dikenali sebagai Eby, 54, merasa tertipu selepas syarikat terbabit gagal memberikan dividen dijanjikan sehingga mendorongnya mahu mendapatkan semula modal pelaburan sebanyak RM60,000 yang dilabur pada Ogos 2022.

“Selepas dua tahun melabur, saya mengesyaki ada unsur penipuan dalam pelaburan itu berdasarkan beberapa komen negatif di media sosial individu terbabit.

“Meskipun ada sebahagian komen negatif itu yang dibuang, namun masih terdapat komen yang mendakwa pelaburan dengan syarikat itu adalah satu penipuan,” katanya yang juga pesara swasta.

Menurut Eby, dia ada membuat pembatalan pelaburan pada Oktober 2023 yang sudah diterima syarikat itu, namun tiada pembayaran dibuat.

“Malah, saya pula dimaklumkan oleh ejen syarikat terbabit yang meminta supaya saya mencari pelabur lain untuk mendapatkan semula modal pelaburan.

“Sepanjang tempoh dua tahun saya melabur dengan syarikat itu, hanya RM1,250 yang saya terima daripada lima peratus dan tujuh peratus hibah dijanjikan pada 2023 serta tahun lalu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kemaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top