‘Saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut’ – TMJ

‘Saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut’ – TMJ


PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail meluahkan rasa hairan apabila namanya sering dikaitkan dengan pelbagai isu dan perkara negatif meskipun tidak mempunyai sebarang kaitan langsung.

Dalam satu kenyataan di laman media sosial, baginda yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan beberapa contoh termasuk kes serangan asid terhadap pemain bola sepak Faisal Halim dan insiden pergaduhan di sebuah konsert muzik punk tempatan yang cuba dikaitkan dengan dirinya.

Menurut baginda, pengaruh yang dimilikinya dalam pelbagai bidang seperti bola sepak dan politik mungkin menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan sesetengah pihak.

“Jika apa yang membuatkan anda sakit hati adalah pengaruh, maka saya ada berita yang kurang baik, pengaruh itu tidak akan hilang. Sama ada dalam bola sepak, politik atau apa jua bidang sekalipun ia adalah sebahagian daripada ekosistem.

“Saya baru 41 tahun dan pengaruh saya, kuasa, pengalaman, kewangan hanya akan bertambah dari sini. Contoh baru-baru ini, saya jumpa ahli politik di Johor yang bertanya sama ada bazar Ramadan dan semua khemah itu milik saya. Serius?

“Adakah muka saya nampak seperti seseorang yang cari keuntungan daripada gerai bazar Ramadan?” titah baginda.

Baginda turut menafikan sebarang kaitan dengan pergaduhan di konsert muzik punk.

“Baru-baru ini juga berlaku kes pukul di sebuah konsert tempatan. Seperti biasa, ada yang cuba kaitkan insiden itu dengan saya.

“Konsert punk tempatan pula tu. Adakah muka saya kelihatan seperti orang yang habiskan masa dengan ‘headbanging’ di gig punk underground?” soal baginda secara sinis.

Mengulas insiden serangan terhadap Faisal Halim, Tunku Ismail menegaskan bahawa baginda dan JDT tidak akan merendahkan diri ke tahap sedemikian.

“Saya ini seorang askar. Kalau saya ada sesuatu untuk disampaikan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut seperti itu,” titahnya lagi.

Baginda turut menambah bahawa masalah sebenar bagi sesetengah pihak bukanlah apa yang baginda lakukan tetapi hakikat bahawa baginda mampu melakukannya.

“Nampaknya apa sahaja yang berlaku mesti dikaitkan dengan saya. Menarik, bukan? Saya rasa masalah sebenar di sini bukan apa yang saya telah lakukan tetapi hakikat bahawa saya mampu melakukannya.

“Pengaruh dalam kedudukan saya, bukan satu pilihan, ia satu ketetapan. Dan semakin masa berlalu, semakin ia bertambah kuat.

“Jadi ini nasihat saya dengan rendah hati, belajarlah untuk terima… atau cubalah habiskan saya terus. Sebab saya tidak akan ke mana-mana. Saya di sini untuk berkhidmat kepada negeri saya dan memartabatkannya,” titah baginda.



Source link

OR

Scroll to Top