Pelakon, Ezzanie Jasny mengakui masih berdepan trauma selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku baru-baru ini.
Ketika ditemui media, Ezzanie atau nama lengkapnya, Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, insiden itu meninggalkan kesan mendalam sehingga membuatkan dia masih fobia dan belum berani memandu sendiri buat masa ini.
“Saya masih trauma dan belum ada keberanian untuk memandu kereta. Buat sementara waktu, saya minta pembantu memandu untuk saya.
“Kadang-kadang kita dah cukup berhati-hati di jalan raya, tetapi disebabkan kecuaian orang lain, kita tetap berdepan risiko kemalangan. Apa pun, kejadian itu masih menghantui saya,” katanya.
Ezzanie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media iklan raya serta majlis berbuka puasa anjuran LOL Entertainment, pada Rabu.
Dalam pada itu, Ezzanie bersyukur kerana keadaan kesihatannya semakin stabil dan dia kini sudah kembali menjalani rutin kerja seperti biasa.
Katanya, meskipun kelihatan pulih, bengkak di bahagian kepalanya sebenarnya masih belum sembuh sepenuhnya.
“Kaki dan kepala bengkak, cuma tak nampak kerana terlindung di sebalik rambut.
“Saya juga bersyukur kerana pendarahan yang berlaku bukan di dalam otak, sebaliknya di luar tengkorak.
“Cuma sekarang saya masih mengalami vertigo, terutama ketika berbaring. Insya-Allah saya yakin keadaan ini akan pulih sepenuhnya nanti,” ujarnya.
Mengimbas kembali detik kemalangan itu, Ezzanie berkata semuanya berlaku terlalu pantas.
“Kemalangan itu berlaku dalam sekelip mata. Ketika kereta yang saya dan ibu bapa naiki dipandu masuk ke perkarangan rumah, tiba-tiba sebuah kereta muncul lalu melanggar kenderaan kami.
“Saya terus pengsan ketika kejadian dan hanya sedarkan diri keesokan paginya.
“Rupa-rupanya ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh pada malam itu, jururawat bersama rakan-rakan cuba mengejutkan saya kerana bimbang saya koma sekiranya tertidur,” kongsinya.






