saufi@mediaprima.com.my
ISTERI mana yang tidak luluh hati apabila mengetahui suami tercinta disahkan menghidap virus HIV, lebih-lebih lagi apabila punca jangkitan dikaitkan dengan gaya hidup sosial liar di luar pengetahuan keluarga.
Demikian antara luahan perasaan yang dikongsikan isteri yang datang mendapatkan bantuan kaunseling selepas suami mereka disahkan positif HIV.
Kegiatan si suami yang aktif bersosial di luar bukan saja meningkatkan risiko jangkitan, tetapi turut mengundang risiko kepada keluarga serta anak-anak.
Pakar kaunseling keluarga, Hushim Salleh berkata, ada peningkatan kes isteri menjadi mangsa keadaan apabila pasangan mereka terjebak dalam hubungan seksual berisiko tinggi sehingga dijangkiti HIV termasuk melanggan pekerja seks dan menjalinkan hubungan rambang ketika berada di luar negara.
Beliau berkata, baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang isteri menjumpai kit ujian HIV dalam kereta dan selepas itu, wanita itu mengetahui suaminya dijangkiti HIV selepas melanggan pondan ketika melancong ke China.
“Ini adalah contoh dan realiti yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini dan yang menanggung sakitnya ada isteri serta anak-anak.
“Dalam kebanyakan kes, isteri akhirnya terpaksa akur meneruskan perkahwinan disebabkan faktor tertentu, khususnya beban tanggungan anak-anak dan kebergantungan terhadap pendapatan suami yang besar.
“Ada juga pasangan yang memilih untuk kekal bersama walaupun tahu suami ada HIV. Mereka buat keputusan itu bukan sebab reda sepenuhnya, tapi kerana faktor ekonomi dan komitmen keluarga di samping menjaga status,” katanya.
Bagaimanapun, Hushim menjelaskan bahawa penyakit HIV kini boleh dikawal dengan baik menerusi pengambilan ubat seperti Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) dan terapi antiretroviral (ART).
Katanya, ubat ini dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada pasangan dan membolehkan pesakit menjalani kehidupan yang normal.
“Ada pasangan yang datang jumpa saya, suami ada HIV, tapi masih hidup bersama dengan isteri dan anak-anak, mereka berjaya mengawal jangkitan kerana suami patuh pada rawatan, ambil ubat ikut masa dan pantang larang tertentu,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan menjalani ujian HIV sebelum melangsungkan perkahwinan sebagai langkah pencegahan awal.
“Kita tidak mahu pasangan menderita selepas berkahwin kerana tidak tahu latar belakang kesihatan pasangan masing-masing, ujian ini bukan untuk menghina, tetapi untuk melindungi.
“Dalam masa sama, saya menyeru umat Islam supaya kembali kepada ajaran agama dan menjaga akhlak serta maruah diri.
“Ramai lelaki yang terjebak dalam aktiviti sosial terlarang kerana gagal mengawal nafsu dan tidak mengendahkan batas agama,” katanya.
Menurutnya, kembali kepada norma Islam iaitu menjaga syahwat, maka diri sendiri serta keluarga akan terselamat.”Jangan hanya fikir keseronokan sekejap, tapi akhirnya bawa penyakit dan kesengsaraan kepada isteri dan anak-anak,” katanya.
Hushim berkata, masyarakat perlu sedar bahawa HIV bukan lagi isu kesihatan semata-mata, tetapi memberi kesan besar terhadap emosi, hubungan kekeluargaan dan masa depan anak-anak.
“Perkahwinan adalah amanah. Nafsu tidak boleh menjadi alasan untuk mengkhianati kepercayaan pasangan. Jangan kerana nafsu sesaat, musnah seluruh kehidupan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd