rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lapan daripada 10 pelajar sekolah menengah tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai kerjaya impian atau pilihan mereka.
Data dikeluarkan schola, platform penjelajahan kerjaya digital percuma pertama di Malaysia yang dibangunkan Creador Foundation itu menunjukkan ia trend membimbangkan mengenai masa depan pelajar.
Selain itu, data turut menunjukkan purata tujuh daripada 10 pelajar tidak membuat penyelidikan aktif mengenai pilihan kerjaya dan enam pelajar membuat pilihan kerjaya berdasarkan faktor jangka pendek.
Naib Presiden Creador Foundation yang juga Ketua Schola, Maha Subramaniam berkata, pembangunan platform itu bermatlamat untuk mengubah fokus dengan memastikan pendedahan kerjaya bermula lebih awal.
“Kami berbual dengan lebih 1,000 pelajar dan satu corak yang jelas adalah tumpuan utama terhadap penjajaran kerjaya biasanya hanya berlaku hampir dengan waktu tamat pengajian berdasarkan kursus yang dipilih.
“Kami ingin mengubah cara berfikir ini dengan memperkasakan pelajar untuk meneroka laluan kerjaya secara proaktif lebih awal dan memilih kursus yang selari minat serta cita-cita mereka sejak dari awal lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Schola terdahulu diperkenalkan dalam majlis pelancarannya sempena festival ‘Kepoh Kerja dengan Schola’ di Mahsa Avenue di sini, hari ini.
Festival penemuan kerjaya yang menampilkan lebih 50 profesional itu disertai kira-kira 700 peserta terdiri daripada pelajar dari 10 sekolah sekitar Lembah Klang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan pelbagai aktiviti disediakan untuk membantu golongan muda meneroka dan memahami laluan kerjaya sebenar.
Mengulas lanjut, Maha berkata, Schola diharap dapat meluaskan kefahaman pelajar mengenai kerjaya mereka.
“Ia bukan sekadar platform panduan kerjaya biasa namun dibangunkan anak muda yang mencurahkan usaha sepenuh hati untuk membina sesuatu yang berkesan kerana mereka tahu bagaimana rasa berada dalam ketidakpastian sekaligus memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka potensi dan mencari laluan kerjaya yang tepat,” katanya.
Katanya, sejak diperkenalkan dalam versi beta pada Ogos tahun lalu Schola berjaya mencapai 190,000 pengguna, menjana 4.7 juta tontonan di media sosial dan mendapat sokongan daripada 2,300 guru di seluruh negara.
Sementara itu, Pengasas Creador Foundation, Shanthi Kandiah berkata, pihaknya berhasrat membantu pelajar mencari peluang kerjaya dengan menggalakkan mereka mempertimbangkan bidang pengajian dan kerjaya masa depan lebih awal.
“Schola komited untuk memupuk perspektif jangka panjang ini dalam kalangan anak muda serta menawarkan sokongan kepada mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd