SD Guthrie, NSTP edar 2,000 bubur lambuk

SD Guthrie, NSTP edar 2,000 bubur lambuk



lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: SD Guthrie bersama The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengedarkan 2,000 pek bubur lambuk percuma di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, Cheras, di sini, hari ini.

Edaran bubur lambuk sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ramadan NSTP dan SD Guthrie itu turut mendapat kerjasama Serba Wangi Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif SD Guthrie International, Dr. Shariman Alwani, berkata pemberian bubur lambuk itu diharapkan dapat menjalinkan hubungan silaturahim yang lebih erat antara SD Guthrie sebagai syarikat korporat yang prihatin terhadap komuniti.

“Dua ribu pek bubur lambuk ini akan diedarkan kepada 13 surau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, bomba dan persatuan penduduk setempat.

“Bekalan bubur lambuk yang kita masak hari ini menggunakan beras Jati dan juga minyak Alif yang mempunyai vitamin serta tokotrienol.

“Kita sekarang sudah pun meningkatkan produksi dan insya-Allah dapat membantu usaha kerajaan untuk memastikan bekalan minyak masak mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini,” katanya.

Pengurus Komunikasi Korporat Serba Wangi Sdn Bhd, Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman, berkata program itu adalah usaha dalam memperkukuh jenama Jati dan Jati Signature dalam pasaran.

“Kami akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif seperti ini, dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan seperti minyak masak Alif, pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada program itu hari ini.

Hadir sama, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Projek Khas NSTP, Tengku Kaifi Mirza Tuan Cherit.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Azzubair Ibnul Awwam, Moslim Aziz, berkata sumbangan bubur lambuk berkenaan membantu ahli kariah masjid untuk meraikan Ramadan.

“Inisiatif ini membantu penduduk setempat yang majoritinya berstatus keluarga B40, terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya dan pesakit terlantar. Terima kasih SD Guthrie, NSTP dan Serba Wangi Sdn Bhd,” katanya.

Pada program itu, SD Guthrie dan NSTP turut menyerahkan sumbangan bernilai RM1,000 kepada pihak Jawatankuasa Masjid Azzubair Ibnul Awwam.

Selain itu, NSTP mengedarkan 300 akhbar Harian Metro secara percuma kepada pihak masjid.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top