amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: SD Guthrie Berhad menyambut baik ketegasan kerajaan mewajibkan syarikat melatih dan menggaji bakat tempatan terlebih dahulu sebelum dibenar mengambil pekerja asing dalam sektor perladangan.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, berkata pendekatan diumumkan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu seiring dengan komitmen syarikat dalam memperkasa tenaga kerja tempatan melalui pelbagai inisiatif.
“SD Guthrie menyambut baik saranan Menteri supaya syarikat mengutamakan pemerkasaan bakat-bakat tempatan sebelum mengambil pekerja asing.
“Saranan ini adalah selaras dengan inisiatif SD Guthrie sendiri untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai pekerja tempatan dalam sektor perladangan sawit,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, melalui inisiatif Projek Lokal, SD Guthrie menetapkan sasaran mencapai 100 peratus pengambilan pekerja tempatan bagi kerja-kerja bukan penuaian di seluruh operasi ladangnya di Malaysia.
Katanya, SD Guthrie juga sedang giat meneroka teknologi mekanisasi, automasi dan pendigitalan dalam kerja ladang sawit, langkah yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membuka ruang kepada pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor itu.
“Kita memerlukan kepakaran baharu seperti pakar mesin (machine specialist), selain turut mewujudkan jawatan pengarah perladangan untuk memacu transformasi operasi ladang secara profesional dan moden,” katanya.
Terdahulu, Ahad lalu Johari menegaskan, mana-mana syarikat yang mahu mengambil pekerja asing perlu menunjukkan bukti bahawa mereka sudah melatih dan menggaji lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program TVET Perladangan.
Johari turut menyatakan hanya SD Guthrie dan FGV Holdings Berhad menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan bakat tempatan dalam sektor perladangan setakat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd