sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita nombor satu dunia, An Se Young menunjukkan mentaliti sang juara apabila bertekad ingin memburu 12 kejuaraan pada tahun ini, sekali gus meletakkan namanya dalam sejarah memenangi paling banyak gelaran dalam satu musim.
Tahun lalu, Se Young mempamerkan prestasi luar biasa apabila meraih 11 gelaran daripada 16 pertandingan yang disertai, malah lebih menakjubkan, pemain berusia 24 tahun itu meraih 73 kemenangan daripada 77 perlawanan.
Rekod itu menyaksikan dirinya mencatat 94.8 peratus, tertinggi pernah direkodkan dalam satu musim dan mengatasi musim terbaik legenda seperti Lin Dan (China) dan Lee Chong Wei (Malaysia).
Kejayaan meraih 11 kejuaraan itu juga membolehkan dia berada sebaris dengan bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota.
Justeru, Se Young dengan keyakinan tinggi ingin meletakkan sasaran utama pada musim ini untuk mengatasi rekod musim lalu dan menamatkan musim ini tanpa kalah.
“Saya akan melupakan apa yang sudah dicapai dan bermula semula untuk kejayaan baharu. Saya mahu memburu lebih banyak gelaran. Tabiat itu membuatkan saya terus bergerak ke hadapan untuk mengumpul kejuaraan adalah pendorong utama saya. Menamatkan setahun tanpa kalah adalah sasaran tertinggi saya, walaupun ia sangat sukar,” katanya.
Antara kejuaraan utama yang diraih oleh pemain Korea itu adalah Jelajah Dunia termasuk tiga daripada empat kejohanan Super 1000, antaranya Terbuka Malaysia, Seluruh England dan Terbuka Indonesia.
Terdahulu, Se Young memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia dengan langkah kanan selepas menewaskan pemain dari Kanada, Michelle Li dengan kemenangan tiga set 19-21, 21-16, 21-18 di pusingan pertama, hari ini.
Menanti di pusingan kedua Khamis ini adalah wakil Jepun, Nozomi Okuhara yang turut layak selepas menewaskan Pai Yu Po dari Taiwan straight set 21-12, 21-14.
© New Straits Times Press (M) Bhd






