PETALING JAYA: Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai tidak membangkitkan isu Islamofobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd. Amran Mat Zain berkata, kehadiran pihak luar bagi menyaksikan hukuman itu adalah tertakluk kebenaran mahkamah syariah dan lokasi yang ditetapkan adalah di masjid.
Kata beliau, tempat pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara bagi Negeri Terengganu telah ditetapkan secara rasmi di bawah perenggan 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001.
Jelasnya, antara lokasi yang dinyatakan dalam warta kerajaan Negeri Terengganu [No. 1684] ialah Masjid Abidin, Masjid Al-Muktafi Billah Shah, dan beberapa masjid utama lain di negeri itu.
“Penetapan lokasi ini bertujuan memastikan pelaksanaan hukuman dapat dilakukan dalam persekitaran yang tertutup dan terkawal, selaras dengan kehendak undang-undang dan syarak.
“Maka, adalah pasti ia hanya disaksikan oleh orang Islam sahaja dan jelas sekali hukuman tersebut bagi menyedarkan umat Islam untuk tidak melakukan kesalahan yang sama.
“Saya juga percaya dengan hukuman sebatan syariah ini akan memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa sebatan syariah sangat berbeza dengan sebatan sivil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seorang tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan dan pelaksanaan sebat dilakukan di luar penjara memandangkan ia adalah kesalahan ketiga dilakukan lelaki berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd. Amran berkata, isu persepsi masyarakat progresif dan global perlu dilihat dalam kerangka menghormati perbezaan sistem perundangan dan nilai budaya.
“Malaysia adalah negara yang unik dengan wujudnya dua undang-undang iaitu undang-undang sivil dan syariah yang secara khusus mengatur hal-hal berkaitan umat Islam di samping undang-undang adat di Sabah dan Sarawak.
“Dalam konteks ini, penting untuk masyarakat memahami bahawa pelaksanaan hukuman ini adalah sebahagian daripada usaha menegakkan keadilan dan menjaga kesejahteraan masyarakat menurut prinsip agama,” katanya.
Selain itu, kata beliau, hukuman sebatan itu tidak bertujuan untuk menghukum secara kejam tetapi lebih kepada mendidik, mencegah, dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga nilai-nilai agama.
“Hukuman ini dijalankan dengan mengambil kira prinsip kemanusiaan dan dilakukan dengan penuh etika. Contohnya, pegawai perubatan akan memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas pelaksanaan hukuman, manakala alat sebatan juga direka khas untuk mengurangkan risiko kecederaan fizikal,” katanya.
Mengulas mengenai kehadiran khalayak, beliau berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara telah menetapkan bahawa kehadiran adalah sangat terhad dan tertakluk kepada perintah Mahkamah.
“Pelaksanaan hukuman ini hanya boleh disaksikan oleh Pegawai Kehakiman Syariah iaitu seorang hakim syarie atau pegawai yang dilantik untuk memastikan hukuman dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Kedua, Pendakwa Syarie iaitu seorang pendakwa yang bertanggungjawab dalam kes tersebut. Ketiga, orang yang difikirkan patut hadir oleh Mahkamah iaitu kehadiran pihak lain bergantung kepada budi bicara dan arahan Mahkamah, yang biasanya mengambil kira sensitiviti dan keperluan menjaga maruah serta keselamatan semua pihak.
“SOP ini tidak menyebut tentang kehadiran khalayak awam secara umum, apatah lagi dalam jumlah besar. Sebaliknya, ia menekankan aspek privasi, pengurusan tertib, dan pematuhan kepada undang-undang serta etika.
“Hal ini penting untuk memastikan pelaksanaan hukuman tidak disalahertikan atau dijadikan tontonan yang sensasi,” katanya. – UTUSAN