Sebutan kedua pengesahan lafaz cerai Siti Jamumall dan Aiman 7 Ogos ini

Sebutan kedua pengesahan lafaz cerai Siti Jamumall dan Aiman 7 Ogos ini


syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam : Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, hari ini menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan kedua kes permohonan pengesahan lafaz cerai pasangan pempengaruh, Khairul Aiman Abdul Kudus atau Aiman Tak Kesah dan Siti Suriani Wahiddin atau Siti Jamumall.

Peguam yang mewakili Aiman, Mohd Noor Aizan Md Idros berkata, pihak peguam yang mewakili Siti memohon untuk memfailkan penyata pembelaan terhadap tuntutan yang dibuat pihak Aiman.

“Kami maklumkan kepada mahkamah, apa tuntutan. Yang kedua, status serahan saman (permohonan pengesahan lafaz cerai) yang kami sudah serahkan saman kepada pihak defendan.

“Kemudian, tadi pihak defendan juga sudah melantik peguamnya dan katanya, dia nak failkan penyata pembelaan.

“Ada beberapa perkara dalam tuntutan pihak kami yang dia rasa perlu dijelaskan dalam bentuk bertulis terutamanya mengenai perkara yang membawa kepada lafaz itu dan apa berlaku selepas lafaz itu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua pihak pernah bercerai sebelum ini dan keputusan pengesahan lafaz cerai untuk talak yang dilafazkan Aiman dalam siaran langsung di TikTok pada 11 Mei lalu, perlu disahkan statusnya.

“Sebelum ini mereka pernah bercerai dan disahkan mahkamah. Ini lafaz kedua. Cuma dalam lafaz ini, Aiman menyebut talak dua.

“Jadi, soalnya adakah dua ini, campur satu yang dahulu jadi tiga atau dua ini kali kedua. Ini soal yang perlu diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Siti Suriani atau Siti Jamumall, Mohamad Zaid Abdul Aziz berkata, mahkamah memberikan masa tujuh hari untuk melakukan pembelaan.

“Pihak mahkamah mengarahkan kami melakukan pembelaan dalam masa tujuh hari dan kes ini akan mulakan perbicaraan pada 7 Ogos ini.

“Tarikh 7 Ogos itu, sebutan kali kedua dan kemungkinan hakim akan terus kepada perbicaraan, keterangan daripada pihak plaintif dan defendan,” katanya.

Katanya, dia yang mewakili defendan perlu menjelaskan beberapa fakta yang benar kepada mahkamah selepas timbul beberapa kekeliruan mengenai jumlah lafaz talak.

“Pagi ini, pihak kami (pihak defendan) mohon kepada mahkamah yang mulia ini untuk masukkan satu pembelaan kerana dalam kes yang disebutkan, ada beberapa fakta benar, yang perlu kami jelaskan.

“Daripada pihak plaintif itu, ada cerita daripada pihak mereka manakala daripada pihak defendan, ada ceritanya. Tapi, kita tahu bahawasanya lafaz-lafaz itu memang di dalam tontonan umum yang kita tonton secara langsung (di TikTok).

“Tapi, mahkamah kena tahu kejadian sebelum, semasa dan selepas lafaz itu dibuat. Sebab itulah pemeriksaan fakta ini penting untuk mahkamah putuskan.

“Sebab menjadi tanda tanya kepada mahkamah, apabila kita melihat lafaz itu, lafaz talak dua. Adakah boleh jatuh terus talak tiga, ataupun apa yang hasrat Aiman, maksud Aiman untuk lafazkan talak itu,” katanya.

Katanya, ada beberapa perkara yang berlaku di belakang tabir dan tidak ditonton oleh penonton ketika siaran langsung itu berlaku.

“Jadi, pihak kami hanya memasukkan pembelaan bagi menerangkan keadaan yang benar-benar berlaku ketika sesi siaran langsung itu.

“Bila kita tengok secara umum, anda akan tengok lafaz talak itu sajalah, tetapi di belakang, ada berapa kejadian, kenapa wujudnya lafaz? Itu pihak mahkamah kena tahulah,” katanya.

Terdahulu, pada 11 Mei lalu, berlaku ketegangan antara Aiman dan Siti dan tindakan Aiman melafazkan talak kepada Siti disaksikan lebih 25,000 penonton yang sedang menonton siaran langsung di media sosial Siti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top