KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memutuskan proses sebutan pertama kes penceraian pasangan pelakon Linda Hashim dan Beego terpaksa ditangguhkan ke 6 Mac depan susulan ketidakhadiran Beego, pagi tadi.
Menurut peguam syarie yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin, keputusan itu dibuat berikutan pihak mahkamah tidak dapat menyerahkan notis tuntutan kehadiran kepada pelakon lelaki itu.
“Sebelum ini kami sudah dimaklumkan serahan (notis) sudah dibuat tetapi tidak sempurna (tidak berjaya).
“Anak guam saya sudah mengemukakan tuntutan cerai pada 17 Januari dan hari ini sepatutnya sebutan pertama kes.
“Jadi kes hari ini ditangguh kepada sebutan kedua pada 6 Mac depan,” katanya.
Tambah Nurul, mahkamah turut menyerahkan tanggungjawab kepadanya untuk memaklumkan defendan iaitu Beego mengenai tarikh sebutan kedua.
“Seharusnya penyerahan dokumen (makluman kepada Beego) dibuat oleh pihak mahkamah.
Tetapi disebabkan penyerahan pertama itu tidak sempurna hingga menyebabkan defendan tidak dapat hadir, satu arahan kepada peguam plaintif iaitu kami untuk serahkan notis ini secara kendiri kepada Beego,” jelasnya.
Meskipun berlapang dada dengan penangguhan sesi mahkamah hari ini, Linda berharap urusannya perceraian berjalan dengan lancar.
“Kita cuma merancang walaupun tidak dapat seperti diharapkan. Saya harap proses berjalan dengan baik dan dapat segera diselesaikan,” ujar Linda.
Terdahulu, Beego mendedahkan bahawa dia tidak tahu menahu mengenai prosiding sebutan pertama kes perceraian bersama isterinya yang berlangsung pada hari ini menerusi sebuah perkongsian di Instagram. -UTUSAN