am@hmetro.com.my
Seremban: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 9 Januari depan bagi sebutan semula kes kematian dua beradik dalam kereta yang menjunam ke muara Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson, September lalu.
Hakim N Kanageswari membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Khairiah Abdul Razak memberitahu mahkamah bahawa laporan perubatan dan bedah siasat belum lengkap.
Pada 12 September lalu, tertuduh Abdul Rahman Mahmud mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menyebabkan kematian kira-kira jam 11.45 pagi pada 4 September di muara Sungai Linggi di Tanjung Agas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.
Sebelum ini, media melaporkan dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta dinaiki bersama bapa mereka dan seorang wanita menjunam ke dalam Sungai Linggi.
Difahamkan, ketika kejadian, kereta diparkir di tebing sungai dengan enjin dimatikan, manakala bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.
© New Straits Times Press (M) Bhd






