redzuan.muharam@hmetro.com.my
Johor Bahru: Biarpun sudah sedekad aktif dalam senaman dan sukan ekstrem kalistenik, minat pemuda ini terhadap aktiviti berkenaan tidak pernah pudar.
Sebaliknya, Putra Zarfan Zalkaifali, 29, yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat makanan segera masih aktif menyertai pertandingan kalistenik dan di luar negara.
Terbaru, Putra Zarfan berpeluang menyertai satu kejohanan kalistenik Asia Tenggara di Vietnam dan membuktikan kemampuannya hingga tersenarai dalam kelompok 16 terbaik daripada 42 atlet yang mengambil bahagian.
Pencapaian terbaiknya pula adalah naib juara dalam kejohanan Kuala Lumpur (KL) Bar Battle 2025 pada 25 Oktober lalu.
Menurut Putra Zarfan, ‘cinta’ terhadap kalistenik yang membuatkannya bertahan sehingga sekarang dan gembira kerana berpeluang menyertai lebih 20 pertandingan.
“Awalnya suka-suka saja namun minat terjebak secara serius dalam kalistenik tercetus selepas melihat kehebatan rakan yang terlebih dulu aktif.
“Saya bersyukur kerana sepanjang 10 tahun, tak pernah lagi cedera teruk dan latihan asas banyak membantu saya untuk elak kecereraan serius.
“Pencapaian tertinggi saya adalah mendapat tempat ketiga dalam kejohanan kalistenik All-Star Hasa Pull-ups Jam di Sungai Kinta, Perak dan terbaru di Vietnam.
“Jujurnya penyertaan dalam pertandingan itu (di Vietnam) antara pengalaman terbaik dalam hidup saya kerana dapat bersaing dengan peserta dari sembilan negara,” katanya kepada Harian Metro.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, ilmu yang ada juga tidak disia-siakan kerana turut dikongsikan termasuk dengan pelapis baharu kalistenik termasuk orang kurang upaya (OKU) kategori pendengaran dan pertuturan.
Putra Zarfan, perkongsian ilmu itu memberi kepuasan berbeza berbanding menjadi atlet kerana dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam kalangan anak muda.
“Seronoknya bila buat pertunjukan kerana dapat sorakan daripada yang menonton tapi kepuasann lain saya adalah melatih generasi dalam kalistenik.
“Saya bersyukur kerana ada kelab berdaftar dengan kerajaan negeri iaitu Komuniti Kalistenik Johor atau ‘Johor Calisthenics Communities’ yang giat berusaha untuk memastikan sukan ini relevan.
“Antara usaha saya pula adalah menyertai program Jelajah Senam Sihat Sekolah yang menjadi sebahagian daripada agenda kesihatan negara.
“Saya juga melatih sesi senaman berat badan kalistenik menerusi program Jom Fit bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) setiap malam Sabtu selain
mengendalikan kelas kumpulan untuk kanak-kanak pada waktu terluang,” katanya yang juga mendapat galakan keluarga sejak awal pembabitan hingga kini.
Di sebalik kemanisan, Putra Zarfan mengakui atlet kalistenik pernah melalui fasa mencabar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana larangan terbabit dalam aktiviti riadah di tempat terbuka.
Bagaimanapun, Putra Zarfan berkata, pengaruh dan perkongsian video di TikTok oleh atlet juga komuniti kalistenik memupuk minat generasi sekarang terhadap sukan ekstrem berkenaan.
“Saya nampak sekarang lebih ramai yang aktif malah berani buat siaran langsung di media sosial waktu bermain di taman permainan.
“Acara pun banyak dan kredit buat komuniti kalistenik khususnya di Johor ini kerana anjurkan pertandingan serta hantar atlet bertanding hingga ke luar negara.
“Satu perkembangan yang baik dan perancangan saya adalah menjelajah ke setiap negeri bagi memberi pendedahan serta menarik minat orang ramai selain membuka pusat latihan kalistenik satu hari nanti,” katanya yang juga berhasrat mengembangkan lagi jenama pakaian keluarannya, Flyfighter hingga ke pasaran antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd






