Sedekah sebagai magnet rezeki

Sedekah sebagai magnet rezeki


Sedekah tidak membuatkan seseorang jatuh miskin.
– Advertisement –

MANUSIA dicipta untuk beribadah kepada Allah. Dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Apabila manusia meninggalkan dunia ini, segala apa yang dimiliki akan ditinggalkan.

Semua amalan kita juga akan terputus kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.

– Advertisement –

Definisi sedekah
Sedekah mempunyai maksud yang cukup luas dalam Islam. Secara mudah, ia boleh didefinisikan sebagai pemberian oleh seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara, mahu pun untuk kepentingan fi sabilillah.

Pensyariatan sedekah
Firman Allah SWT: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” – Surah al-Baqarah: 271

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” – Surah al-Hadid: 18

Kelebihan sedekah
Sedekah mempunyai banyak kelebihan. Antaranya ialah:

  1. Orang bersedekah dimuliakan

Allah SWT menjanjikan banyak keutamaan dan balasan kepada mereka yang suka memberi (bersedekah). Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” – Riwayat al-Bukhari

  1. Menghapuskan dosa

Hadis daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” – Riwayat al-Tirmizi.

Namun demikian, penghapusan dosa dengan sebab sedekah di sini mestilah disertai dengan taubat terhadap dosa yang telah dilakukan.

  1. Pahala orang yang bersedekah dilipatgandakan

Firman Allah SWT: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah SWT akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. – Surah al-Baqarah: 261

  1. Harta tidak akan berkurangan

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” – Riwayat Muslim

  1. Menerima naungan pada hari akhirat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda berkenaan tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan pada hari akhirat. Antara mereka adalah: “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” – Riwayat al-Bukhari

  1. Pintu syurga khusus untuk orang bersedekah

Hadis daripada Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” – Riwayat al-Bukhari

  1. Menjauhkan dari api neraka

Sedekah walaupun sedikit mampu menjauhkan kita dari api neraka. Semakin banyak sedekah, semakin jauh kita darinya. Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.” – Riwayat Ahmad

Bagaimana jika orang miskin ingin bersedekah?

Umat Islam tidak kira kaya atau miskin digalakkan bersedekah mengikut kemampuan. Bagaimana orang miskin yang bermurah hati hendak bersedekah? Bersedekahlah ala kadar, asalkan tidak menyusahkan diri sendiri dan orang yang menjadi tanggungannya.

Jika ada yang berlebihan daripada yang diperlukan, barulah boleh disedekahkan sebahagian daripadanya kepada orang lain.

Daripada Jabir bin Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu dalam keadaan miskin (dan dia hendak bersedekah), maka hendaklah dia terlebih dahulu mengutamakan keperluan dirinya sendiri.

Kalau ada yang berlebihan, hendaklah disedekahkan kepada anak isteri dan orang yang ditanggung nafkahnya.
Kalau ada juga yang berlebih, hendaklah disedekahkan kepada kerabatnya (atau kepada orang yang ada pertalian kerabat dengannya).

Kalau ada juga yang berlebih, maka hendaklah disedekahkan kepada orang lain yang memerlukan bantuan, yang ada di sana sini.” – Riwayat Ahmad

Semoga sedekah yang diberi mampu memenuhi keperluan penerima dan meringankan kesukaran yang dihadapinya, apatah lagi dalam keadaan situasi kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang. Berkongsilah rezeki dengan orang lain demi manfaat ummah tanpa mengharapkan sebarang balasan mahu pun ucapan terima kasih agar rezeki bertambah berkat di samping ganjaran pahala berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. – HARAKAHDAILY 12/7/2024


Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top