redzuan.muharam@hmetro.com.my
Semenyih: “Saya sudah sediakan sembilan helai baju raya untuk dia tahun ini, tapi semuanya tidak lagi bermakna, malah saya pun tak semangat nak beraya,” kata Mohd Mahfiz Azmi, 32, yang kehilangan anak bongsunya, Nur Maryam Ameena, 3, akibat barah darah jarang jumpa Juvenile Myelomonocytic Leukemia (JMML).
Maryam dijemput Ilahi jam 4.50 pagi pada 11 Februari lalu selepas berjuang melawan penyakit yang ditanggungnya sejak berusia sembilan bulan itu.
Mohd Mahfiz Azmi berkata, sejak Maryam disahkan menghidap barah, doktor sudah menasihatinya supaya bersedia dengan segala kemungkinan.
“Walaupun Maryam sakit, dia aktif dan tak terlantar malah rezeki saya dengan isteri kerana dipermudahkan sepanjang menjaganya.
“Cuma malam sebelum Maryam pergi, dia mengadu sakit kepala dan minta nak dukung sebelum tidur dalam pelukan ibunya.
“Kira-kira jam 4.30 pagi, Maryam tercungap dan saya sempat kejut abang dengan kakaknya bangun tidur. Maryam tarik nafas panjang dan menghembuskan nafas terakhirnya di samping kami sekeluarga.
“Tapi terkilan sedikit kerana Maryam teringin nak makan limau dan saya sudah bawakan untuknya cuma dia sakit kepala jadi tak lalu makan dan tak sempat jamah sampai meninggal dunia ,” katanya kepada Harian Metro.
Berkongsi pengalaman menjaga Maryam, Mohd Mahfiz Azmi berkata, walaupun sakit, anaknya itu tidak terlantar kerana boleh berjalan juga makan dan minum seperti biasa.
Bagaimanapun, Mohd Mahfiz Azmi dan isteri, Nur Amira Shafikah Mohamad Kamil, 30, tetap berikhtiar mencari penawar dengan mendapatkan rawatan buat Maryam walaupun tiada jaminan untuk sembuh.
“Sebelum disahkan penyakit itu selepas hasil pengambilan air tulang belakang. Maryam ada tunjukkan simptom demam berpanjangan.
“Maryam sempat menjalani empat pusingan kemoterapi di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur bermula November 2023 tapi tak berkesan sebelum doktor sahkan sebagai pesakit paliatif pada September 2024 kerana tiada ubat khas boleh merawatnya.
“Disebabkan keadaannya, saya dengan isteri cuba penuhi permintaannya kerana doktor pun sarankan kami untuk habiskan masa bersamanya. Jadi setiap kali cuti, kami akan bawa berjalan dengan yang terakhir ke sebuah taman tema di Johor Bahru, Johor pada Disember lalu,” katanya.
Disebabkan itu, Mohd Mahfiz Azmi menyimpan terlalu banyak memori dengan Maryam dan jadi sebak bila mengenangkannya.
“Mana tidaknya, banyak tempat yang saya dan isteri pernah bawa berjalan jadi setiap kali singgah semula, akan teringat kenangan dengan Maryam.
“Terlalu banyak kenangan cuma salah satu yang tak dapat lupa adalah dua hari sebelum Maryam pergi. Waktu itu nak ke dobi dan kebiasaannya dia boleh berjalan sendiri.
“Tapi hari itu, Maryam macam nak bermanja dan minta dukung dengan pandangan yang lain. Saya turutkan saja cuma tak sangka itu antara detik terakhir dengannya,” katanya yang berkongsi gambar dan video bersama Maryam di Threads bagi melepaskan kerinduan terhadap anaknya itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






