Segera pilih Presiden FAM baharu, tubuh pasukan khas siasat isu pemalsuan dokumen

Segera pilih Presiden FAM baharu, tubuh pasukan khas siasat isu pemalsuan dokumen


PEMERHATI sukan dan bekas Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Christopher Raj menggesa FAM supaya segera mengadakan pemilihan presiden baharu tanpa perlu menunggu hingga tahun depan susulan krisis pemalsuan dokumen pemain warisan yang kini mencetuskan masalah besar dalam arena bola sepak negara.

Menurutnya, FAM kini seolah-olah beroperasi tanpa arah tuju yang jelas berikutan kekosongan tampuk kepimpinan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang siapa yang akan mengetuai usaha rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman berat yang dikenakan terhadap badan induk itu.

“FAM mesti segera memilih presiden baharu. Kita tidak perlu tunggu sampai tahun depan kerana sekarang tiada pemimpin. Sebuah persatuan yang tiada nakhoda. Dengan krisis yang sedang berlaku, siapa pemimpin yang akan membawa isu ini ke FIFA? Tiada,” katanya.

Kerusi Presiden FAM kosong selepas Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub meletakkan jawatan pada Ogos lalu dan badan induk itu kini dipimpin oleh Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selaku pemangku

Christopher turut menjelaskan bahawa FIFA hanya akan berurusan secara rasmi dengan Presiden dan Setiausaha Agung FAM, bukan dengan mana-mana pihak lain sekali gus menyaksikan pemilihan segera amat penting bagi memastikan proses komunikasi dan rayuan dapat dijalankan dengan teratur.

“Kenapa FAM mahu tunggu Februari untuk buat pemilihan? Mereka sepatutnya melakukannya pada November atau Disember. Tidak kira siapa jadi presiden, yang penting proses pemilihan perlu dijalankan segera,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar FAM menubuhkan Jawatankuasa Siasatan khas (task force) yang terdiri daripada ahli bebas yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan bola sepak tempatan bagi menyiasat secara telus bagaimana kesilapan besar ini boleh berlaku.

“Pasukan task force ini perlu meneliti punca sebenar kegagalan, mengenal pasti kelemahan sistem, dan membentangkan laporan lengkap kepada presiden baharu FAM untuk tindakan susulan. Hanya melalui ketelusan dan akauntabiliti, keyakinan penyokong dapat dipulihkan,” ujarnya.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

Terkini, FIFA menerusi dokumen rasmi Notification of the Grounds of the Decision mendedahkan punca Utama pemain warisan tersebut digantung dan FAM didenda.

FAM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan telah penerimaan dokumen tersebut dan akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

Ringkasan AI

  • PEMERHATI sukan dan bekas Exco Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Christopher Raj menggesa FAM mengadakan pemilihan presiden baharu segera
  • FAM beroperasi tanpa arah tuju jelas berikutan kekosongan tampuk kepimpinan
  • Kerusi Presiden FAM kosong selepas Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub meletakkan jawatan dan badan itu kini dipimpin oleh Timbalan Presiden sebagai pemangku
  • Christopher menekankan pentingnya pemilihan segera untuk memastikan proses komunikasi dan rayuan ke FIFA dapat dijalankan dengan teratur
  • FAM dan tujuh pemain warisan didenda dan digantung oleh FIFA akibat pemalsuan dokumen pemain



Source link

OR

Scroll to Top