Sehelai lampin pakai buang berharga RM7

Sehelai lampin pakai buang berharga RM7



hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Barangan keperluan semakin sukar diperoleh selepas setahun jenayah genosid dilakukan rejim Zionis terhadap Palestin dalam konflik ‘Taufan Al-Aqsa’.

Sehelai lampin pakai buang kini mencecah harga RM7 manakala bagi harga air bersih ialah RM5.20 seliter.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, perkara itu dimaklumkan wakilnya di Gaza iaitu Ahmad Abu Ayesh Annajar.

Menurutnya, susu formula seberat 400 gram untuk bayi berharga RM38 di tengah Gaza dan Khan Younis, namun meningkat sehingga RM59 di Jabalia, utara Gaza kerana lebih sukar diperoleh.

“Barangan keperluan semakin sukar diperolehi dan harganya pula amat tinggi. Fokus kami untuk masa terdekat ini ialah air bersih dan susu formula untuk bayi.

“RM5.5 juta sudah kita salurkan ke Gaza, mungkin kita anggap satu jumlah yang besar, hakikatnya jumlah itu belum memadai,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Memperingati 365 Hari Perjuangan Taufan Al-Aqsa di Dewan Konvensyen MPAJ, di sini, hari ini.

Majlis makan malam amal itu dianjurkan MCM dengan kerjasama Maktabah Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata, sepanjang Taufan Al-Aqsa 365 hari yang lalu, pelbagai program dilaksanakan antaranya menyediakan makanan panas untuk 2,000 orang sehari di khemah pelarian sekitar Gaza.

“Satu daripada lokasi tetap bantuan ialah Sumoud Camp atau dikenali juga sebagai Kem Muslim Care Malaysia, dekat Khan Younis.

“Di situ, MCM Palestin menguruskan khemah untuk kira-kira 100 keluarga membabitkan kira-kira 800 ke 1,000 orang. Turut disediakan ialah tiga surau dan bekalan elektrik daripada tenaga solar,” katanya.

Katanya, pihaknya mensasarkan untuk mengumpul RM1 juta lagi daripada rakyat Malaysia untuk kami salurkan ke Gaza kerana keperluan di sana semakin mendesak.

Sementara itu, Penasihat MCM, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pelaksanaan kempen berkenaan secara tidak langsung dapat membantu salah satu masalah yang dihadapi mereka.

Katanya, bantuan kewangan itu boleh digunakan oleh rakyat Palestin dalam mendapatkan bekalan air bersih, susu dan makanan.

“Saya yakin dan percaya, insya-Allah apabila kita boleh lakukan perkara sedemikian (beri sumbangan), kita boleh berjaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top