Sejak Sarah tiada, Shuib tak lagi sambut hari lahir

Sejak Sarah tiada, Shuib tak lagi sambut hari lahir


syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu mendedahkan dia tidak lagi meraikan ulang tahun kelahirannya sejak empat tahun lalu, kecuali pada satu majlis kejutan baru-baru ini di sebuah restoran di Shah Alam yang dianjurkan keluarganya.

Shuib berkata, keputusan itu dibuat kerana kenangan bersama Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin yang begitu meriah ketika menyambut hari lahir keluarga.

“Sejak empat tahun lalu, saya memang tidak sambut hari lahir. Saya berpesan kepada orang terdekat supaya jangan raikan, malah anak-anak pun tahu mengenai hal ini.

“Walaupun sudah empat tahun, Sarah tetap ada dalam diri kami setiap hari. Dia orang yang paling teruja setiap kali tiba hari lahir. Dia akan sambut hari lahir anak-anak, keluarga dan juga saya.

“Bila dia sudah tiada, saya tidak merasakan hari lahir saya sesuatu yang istimewa. Ia hari biasa saja,” katanya.

Shuib berkata, tarikh hari lahirnya yang dekat dengan Allahyarham turut membuatkan dia memilih untuk tidak meraikannya.

“Selalunya Sarah akan cakap, ‘okay kita satukan saja ‘birthday’ kita. Awak 12 September, saya 15 September. Jadi kita raikan pada 13 atau 14 September.’ Jadi, bila dia sudah tiada, saya rasa tak perlulah nak sambut. Saya okey saja, anak-anak pun faham,” katanya.

Bagaimanapun, Shuib menegaskan dia tetap meraikan ulang tahun kelahiran anak-anaknya.

“Untuk hari lahir anak-anak, saya masih teruskan sepenuhnya. Untuk mereka, saya mampu teruskan dengan betul-betul,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top