Pasukan Selangor FC muncul juara pada perlawanan Final 2 Piala Cabaran menentang PDRM FC di Stadium MBPJ malam tadi – Foto: Bernama
PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menggangap kejayaan menjulang Piala Cabaran menjadi detik penting dalam lipatan sejarah skuad Gergasi Merah itu.
Menurutnya, ia menjadi kejuaraan penting buat Selangor selain memberikan semangat untuk pasukan menghadapi saingan lebih mencabar selepas ini.
“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah buat Selangor. Bagi kami ini adalah satu pencapaian penting.
“Namun, untuk hari-hari akan datang, kita kena bersedia dengan perlawanan seterusnya dan perlu mengekalkan aksi konsisten.
“Cabaran dan perjalanan kami masih jauh dan penyokong diharap terus menyokong kami. Kami sedar perlu terus bekerja keras untuk meningkatkan tahap pasukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan akhir kedua pada Sabtu, Selangor membelasah PDRM FC 4-0 untuk merangkul Piala Cabaran selepas menang secara agregat 7-0.
Kemenangan itu juga cukup bermakna buat Gergasi Merah menamatkan penantian 10 tahun menjulang piala selepas kali terakhir pada 1995.
Kejayaan tersebut juga menambah koleksi piala dimiliki Selangor yang sebelum ini meraih lapan kejuaraan Piala Sumbangsih, lima kejuaraan Piala FA dan 33 kejuaraan Piala Malaysia.
Dalam pada itu, penyerang import Selangor, Ronnie Fernandez menyifatkan kejayaan itu cukup bermakna buat Selangor dan gembira dapat membantu pasukan menjulang piala.
“Saya gembira untuk menjadi juara bersama Selangor. Sebagai seorang pemain bola sepak bukan selalu dapat bermain dalam perlawanan akhir dan menjulang piala.
“Ia tidak mudah. Jadi, amat penting buat diri saya, semua pemain dan pasukan dapat memastikan Selangor meraih kejuaraan,” katanya.