Sekolah di Iran terkena bedilan udara Israel, 85 maut

Sekolah di Iran terkena bedilan udara Israel, 85 maut


TEHERAN: Sekurang-kurangnya 85 maut apabila serangan udara Israel mengenai sebuah sekolah rendah perempuan di Minab, wilayah Hormozgan di selatan Iran.

Agensi berita rasmi Islamic Republic News Agency (IRNA) melaporkan kerja-kerja mengalihkan runtuhan masih dijalankan di lokasi kejadian, manakala 63 lagi mangsa cedera dalam insiden pada Sabtu.

Serangan itu merupakan sebahagian daripada gelombang operasi ketenteraan bersama AS-Israel di seluruh Iran yang mencetuskan ketegangan serantau.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkongsi gambar kemusnahan sekolah berkenaan dan mendakwa serangan itu mengorbankan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Beliau menegaskan jenayah terhadap rakyat Iran itu tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, turut mengecam serangan tersebut sebagai jenayah terang-terangan dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera.

Dalam perkembangan berasingan, agensi berita Mehr melaporkan sekurang-kurangnya dua pelajar maut dalam satu lagi serangan Israel yang mengenai sebuah sekolah di timur Teheran.

Wartawan Al Jazeera di Tehran, Mohammed Vall, berkata insiden itu menimbulkan persoalan terhadap dakwaan Washington dan Tel Aviv mengenai sasaran mereka hanya kemudahan ketenteraan.

Menurutnya, angka korban awam berkemungkinan akan digunakan Teheran sebagai bukti pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Setakat ini, tiada reaksi segera daripada pihak AS atau Israel berhubung dakwaan Iran mengenai serangan ke atas sekolah tersebut.





Source link

OR

Scroll to Top