Sektor tenaga boleh diperbaharui penyumbang kejayaan PCDS 2030

Sektor tenaga boleh diperbaharui penyumbang kejayaan PCDS 2030



nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sektor tenaga boleh diperbaharui antara penyumbang utama kepada kejayaan cemerlang direkod dalam Laporan Tahunan Pertama Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, pelaksanaan inisiatif daripada tenaga boleh diperbaharui adalah teknologi baharu yang perlu diambil serius dan harus dilaksanakan secepat mungkin.

“Jika kita mementingkan dari segi kepentingan iklim dan pembangunan mampan, ia (tenaga boleh diperbaharui) adalah sesuatu yang harus dilaksanakan kerana dunia ini mengalami ‘kesakitan’ akibat terlalu banyak pencemaran.

“Di negara-negara lain yang mempunyai (tenaga itu), mereka mengutamakan dari segi pelaksanaan untuk negara sendiri.

“Bagi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) (di negara ini), ia dibuka dari segi kepentingan yang boleh dilaksanakan kepada negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Stigma, di sini, hari ini.

Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata, kecemerlangan diperoleh dalam pelan inisiatif Sarawak itu adalah hasil usaha sama daripada semua pihak yang terbabit.

“Alhamdulillah, semua orang berkerja keras. Apa yang penting adalah dari segi pelaksanaan ekonomi tenaga boleh diperbaharui dengan memandang kepentingan apa diperlukan dunia.

“Dengan pelaksanaan CCUS, ia adalah sesuatu yang amat diperlukan dan bukannya mudah untuk cari lokasi bersesuaian. Dari segi pencapaian pelaburan, ia adalah kepercayaan kepada produk yang memerlukan pelaksanaan baik,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Sarawak mencapai peningkatan pendapatan mencecah RM13.3 billion berbanding RM7.3 billion pada 2019, berdasarkan Laporan Tahunan Pertama PCDS 2030 yang menunjukkan beberapa pencapaian besar sebagai tumpuan utama.

Ini termasuk dalam sektor pembuatan yang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM21.5 bilion dari 2021 hingga 2023 dan mewujudkan lebih 11,000 peluang pekerjaan baharu.

Antara sektor yang menjadi tumpuan dalam laporan itu adalah tenaga boleh diperbaharui dengan Sarawak berjaya mengekalkan 60 peratus campuran kapasiti tenaga berkenaan dan menjual lima juta Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) pada tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top