Sekularisme dan motif merobohkan Islam

Sekularisme dan motif merobohkan Islam


– Advertisement –

Sekularisme

Sekularisme adalah pemikiran yang memperjuangkan negara, yang tidak sepatutnya dipengaruhi oleh Agama.

Para sekularis berpegang bahawa mana mana dasar negara, perlulah ditentukan oleh manusia, tanpa campurtangan agama, yang didakwa bersumberkan wahyu Tuhan.

Aliran ini begitu tegar bersandar kepada konsep demokrasi untuk menentukan sesuatu dasar, kerana menurut mereka manusialah yang berhak menguruskan dunia mereka, bukan Tuhan.

Manakala umat Islam yang terkesan dengan sekular pula, akan menganggap Islam itu hanya sekadar syariat untuk peribadi sahaja. Tidak menganggap Islam itu sebagai sebuah sistem negara dan perundangan.

Tersakiti dengan gereja

Menurut Syeikh Yusuf al Qaradawi, akar sekularisme berasal daripada pemikiran Aristotle yang mengemukakan konsep tuhan itu jauh dari alam, dan tidak terlibat dengan pengurusan alam.

Manakala kemunculan ideologi ini di dunia Barat, berasal daripada fobianya orang-orang Barat terhadap campurtangan gereja ke atas politik negara. Ini kerana campurtangan itu menyebabkan lahirnya kuasa penindasan gereja.

Penindasan atas nama agama ini telah mencetuskan rasa benci terhadap agama, khususnya aliran Katholik dalam Kristian. Lantas mencetuskan 2 kelompok:

– Advertisement –

1. Penganut Kristian yang ingin runtuhkan kesesatan Katholik. Mereka mencetuskan protes dan kebangkitan rakyat, antaranya dengan menafsirkan semula Bible. Aliran ini dinamakan Protestan

2. Golongan Atheisme yang bersifat Anti-agama. Menganggap kewujudan Tuhan hanya sekadar rekaan paderi. Mereka tak percaya dengan kewujudan perkara ghaib dan sebagainya.

Perjuangan kedua-dua aliran ini mencetuskan satu cara faham, iaitu sekular. Ia bermaksud sesebuah negara atau pemerintahan tak sepatutnya ada campurtangan agama.

Menunggang sekularisme

Ideologi ini kadangkala dianut oleh sekelompok manusia, dengan tujuan untuk merobohkan dominasi agama ke atas sesebuah negara.

Contohnya, Malaysia yang berasal daripada Tanah Melayu, berada di bawah pengaruh Islam. Sebahagian undang-undang yang ada pada hari ini, dibentuk berteraskan agama.

Bahkan dengan jelas, Perlembagaan Persekutuan meletakkan bahawa Islam sebagai agama persekutuan.

Namun, kelompok manusia yang meletakkan misi untuk merobohkan dominasi agama Islam di Malaysia, akan melaungkan slogan-slogan sekularisme sebagai lapik untuk merasionalkan perjuangan mereka.

Kelompok ini akan melaungkan kebebasan bersuara melangkaui batas agama, mengemukakan konsep dosa peribadi, mengkritik undang undang Islam dan sebagainya.

Matlamat sebenarnya bukanlah kebebasan, akan tetapi merobohkan dominasi Islam di Malaysia, untuk membentuk negara sekular. Iaitu negara yang tidak dipengaruhi oleh Agama.

Jalan yang digunakan

Gerakan sekularisme di Malaysia menggunakan saluran-saluran yang ada, untuk mengembangkan fahaman mereka.

Ada yang bergerak melalui pertubuhan yang menyuarakan hak-hak kebebasan. Bermotifkan membebaskan manusia daripada pengaruh agama. Dengan kata lain, menanggalkan jati diri Islam daripada seorang muslim.

Ada yang bergerak melalui politik, sehingga memenangi kerusi-kerusi pilihanraya. Apabila berkuasa, dan memperolehi majoriti, kelompok ini akan menggunakan kuasa yang ada untuk menafikan mana-mana usaha untuk memartabatkan Islam sebagai sebuah sistem negara.

Contohnya suara-suara yang membantah cadangan pensijilan halal ke atas restoran, sekalipun tidak menyediakan alkohol dan khinzir.

Bantahan seperti ini dilihat membawa agenda sekular. Ini kerana cadangan pensijilan halal tersebut, adalah langkah penguatkuasaan sistem Islam, yang bertembung dengan dasar sekularisme itu sendiri.

Contoh yang lain, usaha menghapuskan beberapa Enakmen Jenayah Syariah di Negeri atas alasan bertembung dengan Mahkamah Persekutuan, sekalipun Islam itu sendiri adalah agama bagi Persekutuan.

Kefahaman yang terbelit

Selain daripada faktor luaran yang dikemukakan tadi, antara punca bercambahnya fahaman Sekularisme ialah umat Islam itu sendiri.

Ada di kalangan umat Islam yang salah faham, cuba menghuraikan maksud Islam sepertimana huraian paderi-paderi dahulu terhadap ajaran Kristian Katholik.

Antaranya mereka menghuraikan Islam itu secara mistik, misteri dan disulam dengan mitos-mitos tahyul yang mengkhayalkan. Seperti kepercayaan si mati akan hidup semula sebagai al Mahdi

Huraian yang senget seperti ini membawa gambaran yang salah terhadap Islam. Lantas masyarakat akan menanggapi Islam itu lebih kurang macam Kristian. Sedangkan ia adalah kefahaman yang salah.

Kesannya, ia merasionalkan dan mengukuhkan lagi sekularisme di mana-mana tempat pun, termasuk Malaysia.

Masing-masing beranggapan bahawa tak mungkin sesebuah negara itu dibina dengan ketahyulan dan mistik yang merapu-rapu.

Akhirnya perkara ini akan mengheret kepada persepsi masyarakat yang membakulkan Islam sama seperti Katholik, yang melakukan penindasan atas nama agama satu ketika dahulu.

Cadangan penyelesaian

Penyelesaian bagi isu ini ialah kefahaman. Islam perlu difahami dengan jelas oleh umatnya. Para pendakwah atau Ustaz perlu mengemukakan Islam yang betul, dan lengkap.

Bukanlah Islam yang dihurai separuh, atau dihurai secara sekerat. Bukan membataskan Islam hanya sekadar skop peribadi sahaja, sebaliknya perlu luaskan kepada Islam sebagai sebuah sistem.

Bukan juga Islam yang digoreng secara tahyul dan penuh khayalan. Pemerintahan atau politik Islam tidak terbina dengan khayalan, sebaliknya dengan perjuangan yang realiti.

Kefahaman yang jelas akan membawa kepada kesatuan yang satu, dan keselarasan yang selaras.

Kefahaman yang diimport secara haram daripada ajaran Batiniah perlu diteliti, disaring dan ditapis agar tidak membawa kepada huraian yang salah terhadap Islam.

Termasuk juga kefahaman dalam Tauhid yang betul dan jelas, yang tidak menyamakan Allah SWT dengan makhluk dalam apa jua bentuk.

Ahli ahli politik yang Islam pula, perlu membawa pemerintahan kepada Islam. Apa gunanya andai Islam itu sekadar angka majoriti, tetapi ramai di kalangan penganutnya berfahaman sekular?

USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 20/9/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top