QUETTA, Pakistan- Sekurang-kurangnya 20 maut dalam satu letupan yang menggegarkan stesen keretapi di Quetta, barat daya Pakistan.
Serangan yang turut menyebabkan lebih 40 yang lain cedera termasuk mengalami cedera parah, dipercayai berpunca daripada serangan pengebom berani mati.
Menurut pegawai kanan polis, Mohammad Baloch, bom berkenaan meletup ketika hampir 100 penumpang sedang menunggu keretapi untuk pergi ke bandar Rawalpindi dari Quetta.
Kumpulan pemisah Balochistan Liberation Army (BLA) yang mengaku melakukan letupan tersebut berkata, serangan bunuh diri itu dilakukan seorang pengebom yang mensasarkan askar-askar yang berada di stesen keretapi terbabit.
Untuk rekod, BLA telah lama berjuang untuk mendapatkan pembebasan daripada Islamabad.
Jurucakap kerajaan, Shahid Rind berkata, pengeboman itu dilihat sebagai serangan bunuh diri namun siasatan masih dijalankan untuk mengesahkan dakwaan BLA.
Menurut seorang pegawai polis, beberapa penumpang yang kritikal meninggal dunia di hospital dan sekali gus menyebabkan angka korban terus meningkat.
Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif yang mengecam serangan tersebut berkata, pihak yang melakukan pengeboman itu “akan menerima padahnya.”
Tambah beliau, pasukan keselamatan bertekad untuk menghapuskan “sebarang tindakan keganasan.”
-Agensi
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL