“Sekurang-Kurangnya Kami Tak Dipinggirkan” – Penerima SARA Bujang

“Sekurang-Kurangnya Kami Tak Dipinggirkan” – Penerima SARA Bujang

“Sekurang-Kurangnya Kami Tak Dipinggirkan” – Penerima SARA Bujang


Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi kategori bujang yang mula dikreditkan bermula 16 Januari 2026 disambut baik oleh penerima yang menganggap inisiatif itu sedikit sebanyak membantu menampung kos sara hidup harian.

Pekerja swasta, Abdul Muizz berkata, bantuan bulanan yang diterima amat bermakna walaupun jumlahnya tidak besar.

“Sebagai orang bujang yang tinggal di bandar, perbelanjaan memang tinggi. RM50 sebulan ini sekurang-kurangnya boleh bantu beli barang dapur asas,” katanya.

Menurutnya, kemudahan menggunakan MyKad untuk membuat pembelian juga memudahkan urusan tanpa perlu melalui proses rumit.

“Saya cuma maklumkan pada juruwang dan terus boleh guna. Mudah dan cepat,” katanya.

Abdul Muizz

Beliau turut menyifatkan bantuan itu sebagai bukti kerajaan masih memberi perhatian kepada golongan bujang berpendapatan rendah.

“Sekurang-kurangnya kami rasa tidak dipinggirkan,” katanya.

Azmi Fauzan pula berkata, bantuan SARA membantu mengurangkan tekanan kewangan, terutama ketika harga barangan keperluan semakin meningkat.

“Walaupun jumlahnya sederhana, ia konsisten setiap bulan dan itu sangat membantu,” ujarnya.

Katanya, bantuan berkenaan digunakan sepenuhnya untuk membeli makanan dan barangan keperluan asas.

“Sekurang-kurangnya ada sedikit lebihan untuk urusan lain,” katanya.

Azmi Fauzan

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Bantuan begini memang relevan dengan keadaan ekonomi sekarang,” katanya.

Bagi Adli Basirun yang tersenarai dalam eKasih, bantuan sehingga RM100 sebulan memberi kelegaan lebih besar kepadanya.

“Bagi saya, jumlah itu sangat membantu untuk belanja makan sepanjang bulan,” katanya.

Menurutnya, kaedah penyaluran melalui MyKad memastikan bantuan digunakan secara bersasar.

“Ia memang untuk barang asas sahaja, jadi lebih terkawal,” katanya.

Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah prihatin kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah.

“Kami rasa dihargai dan diperhatikan,” katanya.

Sementara itu, live host Kuah Rojak Mak Aku, Aimanuddin Abu Suhaimi berkata, bantuan SARA sekurang-kurangnya meringankan beban selepas sebahagian besar gaji digunakan untuk sewa dan bil bulanan.

“Bila ada bantuan macam ni, rasa sedikit lega,” katanya.

Aimanuddin Abu Suhaimi

Beliau menambah, walaupun jumlah bantuan tidak besar, ia tetap memberi kesan.

“Yang penting ada bantuan dan ia berterusan,” katanya.

Menurutnya, perhatian kerajaan terhadap semua golongan rakyat wajar diteruskan.

“Bujang pun ada komitmen dan keperluan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 3.1 juta individu bujang di seluruh negara layak menerima bantuan di bawah program SARA kategori bujang yang mula dikreditkan bermula 16 Januari lalu.

Bagi kategori ini, penerima akan menerima RM50 sebulan dengan jumlah terkumpul sehingga RM600 setahun, manakala penerima bujang yang tersenarai dalam sistem eKasih layak menerima bantuan sehingga RM100 sebulan, tertakluk kepada kelayakan.

Menurut Kementerian Kewangan, bantuan itu dikreditkan terus ke MyKad penerima dan hanya boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas di pasar raya serta kedai rakan niaga terpilih di seluruh negara.

Penyaluran bantuan SARA mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir, selari dengan usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi membantu golongan memerlukan menghadapi tekanan kos sara hidup.






Source link

OR

Scroll to Top