Selain jaga solat, hormati rakan dan jangan pernah bergaduh – Penerima Anugerah Ulul Albab

Selain jaga solat, hormati rakan dan jangan pernah bergaduh – Penerima Anugerah Ulul Albab


am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Menjaga hubungan dengan Allah dan rakan sekelas, menjadi kunci kejayaan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik, hari ini.

Muhammad Ridhwan Faizul Azmey, 17 diumumkan sebagai penerima Anugerah Ulul Albab yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2025 di Hotel Mudzaffar di sini hari ini.

Penganugerahan itu susulan keputusan 11A yang diperoleh beliau pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, selain tidak pernah tinggal solat lima waktu, beliau turut mengamalkan beberapa solat sunat termasuk sunat taubat dan kerap membaca surah Yasin.

“Saya cukup menjaga solat lima waktu, selain selalu solat sunat taubat serta membaca Yasin, Alhamdulillah berkat amalan itu saya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dengan keputusan 11A.

“Pada masa sama, saya cukup menjaga hubungan baik dengan rakan sekelas serta menghormati mereka.

“Saya tidak pernah bergaduh atau berdendam kerana bagi saya mereka adalah rujukan utama sekiranya berhadapan dengan sebarang masalah berkaitan pembelajaran,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, dia sudah menjangkakan mampu mencapai keputusan 11A selepas pada peperiksaan percubaan sebelum ini mencapai keputusan 10A dan 1B.

“Insya-Allah jika ada rezeki saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top