“Selama 15 Tahun, Saya Dikenali Dengan…” – Afgan Kembali Ke Akar Muzik Pop Indonesia Menerusi Single Kacamata

“Selama 15 Tahun, Saya Dikenali Dengan…” – Afgan Kembali Ke Akar Muzik Pop Indonesia Menerusi Single Kacamata


Penyanyi popular Indonesia, Afgan kembali menampilkan warna muzik pop yang pernah mengangkat namanya ke puncak populariti menerusi single terbarunya berjudul Kacamata.

Lagu ini menjadi karya pertama yang diperkenalkan daripada album ketujuh Afgan berjudul Retrospektif yang dijangka menemui peminat tidak lama lagi.

Selepas tujuh tahun tanpa album berbahasa Indonesia, Retrospektif menandakan langkah kembalinya Afgan ke akar muzik yang membentuk identitinya.

Jika dua album terdahulu lebih banyak mengetengahkan lagu berbahasa Inggeris, kali ini Afgan tampil dengan nuansa pop Indonesia yang lebih matang, segar dan dekat di hati pendengar tempatan.

Kacamata mengekalkan gaya pop yang sinonim dengannya, namun diserikan dengan sentuhan R&B moden serta produksi muzik yang lebih dinamik.

Dari segi lirik, lagu ini mengisahkan seseorang yang sanggup berubah demi cinta, namun akhirnya sedar bahawa pengorbanan itu tidak berbaloi kerana diberikan kepada insan yang salah. Ia menjadi perumpamaan tentang kehilangan jati diri dan pengkhianatan terhadap diri sendiri dalam usaha mencari makna cinta sejati.

Afgan berkata, Retrospektif dihasilkan sebagai bentuk perjalanan pulang ke akar muzik yang pernah menjadi asas kepada kerjayanya.

“Kacamata menggambarkan semangat zaman awal saya berkarya. Selama 15 tahun, saya dikenali dengan imej berkaca mata dan lagu-lagu pop, jadi saya rasa lagu ini paling sesuai untuk membuka bab baharu dalam karier saya,” ujarnya.

Dalam pembikinan lagu ini, Afgan bekerjasama dengan tiga pemuzik berbakat iaitu Iqbal Siregar, Petra Sihombing dan Kamga Mohammed.

“Iqbal datang dengan idea melodi korus yang kuat, dan kami terus mengembangkannya bersama hingga siap dalam masa kira-kira dua jam. Petra bertindak sebagai penerbit dan komposer, manakala Kamga berperanan sebagai pengarah vokal serta komposer bersama,” jelasnya.

Rakaman vokal lagu ini diselesaikan dalam tempoh setengah hari, sementara keseluruhan produksi muzik termasuk proses mixing dan mastering mengambil masa sekitar dua bulan.

Afgan mengakui sangat teruja untuk mempersembahkan karya ini kepada para peminat yang merindukan sentuhan muzik asalnya.

Menurutnya, Kacamata bukan sekadar lambang perjalanan karier muzik, tetapi juga mengandungi mesej yang bermakna.

“Lagu ini mengingatkan kita agar tidak terlalu menggantungkan harapan pada manusia, kerana hanya Tuhan tempat bergantung sebenar. Ia mengajak pendengar untuk tidak kehilangan jati diri ketika berhadapan dengan kekecewaan,” katanya.

Dengan irama yang ringan dan lirik mudah diingati, Kacamata memberikan semangat positif kepada pendengar, mengingatkan bahawa hidup tidak selalu berat dan setiap fasa wajar dinikmati.

Muzik video Kacamata arahan Shadtoto Prasetio pula menampilkan suasana nostalgia era 90-an dalam konsep visual minimalis yang diberi sentuhan moden. Afgan turut digandingkan dengan pelakon Yuki Kato dalam adegan permainan catur, simbol perjalanan cinta yang penuh strategi, langkah, pertahanan dan pengorbanan.

Menariknya, Kacamata mengetengahkan elemen gitar sebagai teras utama, berbeza daripada karya-karya Afgan sebelum ini yang lebih berasaskan piano dan orkestra.

Single Kacamata kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 10 Oktober 2025, manakala album penuh Retrospektif dijadualkan dilancarkan pada November 2025.



Source link

OR

Scroll to Top