am@hmetro.com.my
Sepang: Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) membuka tirainya hari ini dengan sambutan penuh kemeriahan apabila pelawat terawal di lokasi terpilih disambut dengan pelbagai persembahan kebudayaan Malaysia yang memukau.
Ketibaan pelawat diraikan dengan persembahan tarian tradisional Malaysia yang menampilkan elemen warisan negara, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya serta identiti unik Malaysia di mata dunia.
Suasana bertambah ceria dengan kehadiran maskot rasmi TMM2026, Wira dan Manja, yang mencuri perhatian pelawat dan mencetuskan suasana mesra sejak langkah pertama menjejakkan kaki ke negara ini.
Sebagai simbol penghargaan, pelawat turut menerima cenderamata bertemakan TMM2026 termasuk rantai kunci eksklusif maskot kempen, menjadikan percutian mereka satu pengalaman istimewa, unik dan sukar dilupakan.
Ketibaan pelawat antarabangsa itu turut disambut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Tourism Malaysia Datuk P Manoharan.
Dalam pada itu, King Sing ketika ditemui berharap rakyat Malaysia dapat terus mempamerkan sikap ramah mesra dan budaya hospitaliti dalam menyambut kehadiran pelancong antarabangsa selaras dengan TMM2026.
Beliau mengakui masih ada aduan daripada pelancong berhubung sikap kurang mesra dipamerkan segelintir pihak.
“Saya ada menerima aduan dan sudah meminta penjelasan daripada agensi berkaitan, mereka memaklumkan bahawa apabila pelancong bertanya, ada pihak (segelintir rakyat kita) yang bersikap kurang mesra dan menunjukkan kemarahan.
“Oleh itu, saya menyeru semua pihak supaya bersama-sama membuktikan bahawa negara kita adalah sebuah negara yang sangat mesra dan budaya kita mesti mencerminkan sikap mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi menjayakan TMM2026 dan rakyat Malaysia perlu bekerjasama dengan menunjukkan contoh yang terbaik, termasuk dalam aspek kebersihan.
Dari aspek promosi, King Sing berkata, usaha yang dijalankan setakat ini menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya pelancong asing.
Mengulas lanjut mengenai promosi, beliau berkata, sambutan serentak ketibaan pelancong turut diadakan di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di seluruh negara.
Sementara itu, Tourism Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan, kalendar acara TMM2026 turut diperkenalkan yang menampilkan lebih 300 program dan acara sepanjang tahun merangkumi elemen seni dan budaya, warisan serta kepelbagaian kaum melalui sambutan dan tradisi perayaan di Malaysia.
Antara acara utama yang diketengahkan ialah TMM2026 Festival Tahun Baharu Cina, Festival Aidilfitri, Festival Deepavali, Krismas serta keunikan perayaan tradisi tempatan seperti Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Pesta Gawai.
Menerusi kempen TMM2026, Malaysia menyasarkan untuk menarik 43 juta pelawat antarabangsa sepanjang tahun ini, selari dengan usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






