hafidzul@hmetro.com.my
Sungai Buloh: “Mama sayang Adib hingga akhir hayat mama. Terima kasih datang dalam hidup mama walaupun untuk 20 tahun,” demikian kata ibu kepada Ku Adib Aizad Ku Azmi,20.
Penolong Pengarang Berita akhbar Berita Harian (BH), Hafizah Iszahanid memuat naik coretan itu di laman Instagramnya hari ini.
Menurutnya, dia reda dengan pemergian anaknya yang terbabit dalam kemalangan.
“Mama reda untuk semuanya. Selamat jalan sayang mama. Mama akan selalu rindu.
“Adib (Ku Adib Aizad) ajar mama untuk jadi seorang ibu dan menjadi seorang yang kuat,” katanya.
Sementara itu bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Tanty Sharom, 52 berkata, arwah sentiasa menyenangkan gurunya dalam pelbagai perkara.
“Walaupun arwah tidak banyak bercakap namun arwah seorang ringan tulang dan tidak pernah berkata tidak jika diminta untuk membantu,” katanya.
Ku Adib Aizad adalah anak sulung daripada empat beradik meninggal dunia selepas dirempuh sebuah Honda CRV di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada jam 7.20 malam semalam.
Turut maut ialah Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan cedera parah.
© New Straits Times Press (M) Bhd