Selamat kembali KJ, Hishammuddin dan lain-lain kembalilah semula ke pangkuan UMNO

Selamat kembali KJ, Hishammuddin dan lain-lain kembalilah semula ke pangkuan UMNO


KANGAR: Kesediaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin yang secara terbuka mengumumkan beliau mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’ disambut baik kepemimpinan pelbagai peringkat.

Selain Khairy, pemimpin-pemimpin lain termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut diharap dapat kembali bersama UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah membuka ruang seluas-luasnya
kepada bekas pemimpin atau ahli untuk kembali tanpa syarat bersama semula dalam parti itu.

“Apabila Presiden sudah buka ruang seluas-luasnya tanpa syarat (kembali menyertai UMNO), saya pun pelik ada orang kata (Isham Jalil) minta maaf terlebih dahulu, tidak perlulah.

“Saya harap pemimpin seperti Khairy, Hishammuddin dan lain-lain kembalilah semula. Kita semua kawan-kawan. Tidak perlu rasa ego dan sebagainya, orang sudah bagi peluang dan ruang kepada kita ,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa UMNO Bahagian Kangar di sini semalam.

Terdahulu, Khairy secara terbuka mengumumkan beliau mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.

Menerusi petikan Audio Siar (podcast) ‘Keluar Sekejap’ beliau menyatakan hasrat itu dan telah mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar, membuat draf surat permohonan.

Menurutnya, kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini yang membuka pintu kepada bekas ahli untuk kembali tanpa syarat dilihat sebagai satu perkembangan positif.

Sebelum itu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian mengikut Perlembagaan UMNO.

Ahmad Zahid juga berharap usaha itu dipermudahkan dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, selain memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat serta negara.

Pada Januari 2023, UMNO dilaporkan memecat Khairy, selain menggantung keahlian Hishammuddin dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. Selain itu, lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang turut dipecat.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top