harisfadli@hmetro.com.my
Subang: ‘Welcome home papa’, ‘selamat kembali papa’. Itu antara ucapan daripada anak-anak kecil yang sedia menanti bagi menyambut kepulangan ahli keluarga tercinta daripada penugasan Malaysia Batalion (MALBATT) 850-12, hari ini.
Ketibaan seramai 209 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah kumpulan keempat dan yang terakhir bagi penugasan MALBATT 850-12 bagi penugasan United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
Kesemua anggota MALBATT 850-12 termasuk tujuh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) tiba di Pangkalan Udara (PU) Subang, di sini, 5.30 petang hari ini selepas bertugas selama setahun di Lubnan.
Ketibaan mereka disambut Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Pemerintah ABDB Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Muhammad Haszaimi Bol Hassan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.
Mohd Nizam dalam ucapannya berkata, kontinjen MALBATT 850-12 menunjukkan komitmen tertinggi ketika berdepan cabaran yang lebih sukar apabila perlu berdepan konflik Israel-Gaza yang tercetus sejak 7 Oktober 2023.
“Insiden pada 7 November 2024 yang mengakibatkan enam anggota kita cedera ketika dalam pergerakan dari Beirut ke Kem Ma’rakah adalah peringatan jelas bahawa tugas sebagai sebuah pasukan pengaman bukanlah mudah.
“Pembabitan berterusan Malaysia dalam misi pengaman PBB mencerminkan peranan ATM sebagai angkatan yang berwibawa, dihormati dan komited terhadap keamanan sejagat,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






