Chrigor (kiri) bersaing dengan pemain DPMM dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Selasa. Foto: Selangor FC
NAIB juara musim lalu Selangor FC memulakan kempen Liga Super 2025/26 di laman sendiri dengan penuh bergaya apabila menundukkan DPMM FC 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Selasa.
Selepas dikecewakan Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-3 pada aksi Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat lalu, anak buah Kinoshi Katsuhito tidak menunggu lama untuk kembali bangkit mencabar kejuaraan liga.
Pertahanan import dari Thailand, Kevin Deeromram menjadi wira awal apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-36, untuk gol kedua peribadinya.
Penyerang Brazil, Chrigor Moraes kemudian mengesahkan kemenangan mutlak Red Giants menerusi gol ketiga pada minit ke-67, sekali gus memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan tuan rumah di hadapan 4,260 penonton.
“Terima kasih kepada semua penyokong Selangor yang hadir ke stadium malam ini, gembira dapat menjaringkan gol pertama bersama Selangor malam ini,” kata Chrigor.
Bagi DPMM FC bimbingan Jamie McAllister, keputusan ini menambah luka selepas hanya mampu seri 2-2 menentang PDRM FC pada aksi pembukaan meskipun mendahului dengan dua gol awal di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebelum ini.