SELANGOR FC mempamerkan ketahanan luar biasa apabila mengikat penyandang juara, Buriram United 1-1 dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN di Chang Arena, Thailand, pada Rabu.
Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi tampil dengan disiplin tinggi apabila mengadaptasi formasi fleksibel 5-4-1 dan 3-4-3 bagi menyekat serangan bertali arus tuan rumah.
Hasil taktikal itu membuahkan ganjaran pada minit ke-38 apabila penyerang import, Chrigor Moraes, tenang menyudahkan hantaran cantik Nooa Laine untuk meletakkan Red Giants di depan separuh masa pertama.
Bagaimanapun, separuh masa kedua menyaksikan kebangkitan The Thunder Castle selepas kemasukan tonggak berpengalaman, Theerathon Bunmathan, yang menghidupkan rangkaian serangan bersama Peter Zulj, Guilherme Bissoli dan Supachai Chaided.
Beberapa percubaan berbahaya berjaya dinafikan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, namun gawangnya akhirnya bocor pada minit ke-96 apabila tandukan Zulj menerjah jaring hasil sepakan sudut.
Keputusan seri itu nyata menjadi suntikan moral berharga buat Selangor yang kini mengumpul satu mata menjelang aksi kedua menentang Tampines Rovers FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 24 September.
Sementara itu, Kinoshi berpuas hati dengan semangat juang ditampilkan anak buahnya selepas mengikat penyandang juara berkenaan.
Menurut Kinoshi, meskipun gagal membawa pulang tiga mata penuh, barisan pemain Selangor wajar berbangga kerana berjaya mengekang kekuatan kelab gergasi Thailand itu sehingga tamat perlawanan.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan. Kita berjaya bermain dengan baik sehingga minit ke-95 walaupun lawan memiliki ramai pemain berkualiti dan bermain lebih tersusun.
“Keputusan ini memberi keyakinan kepada pemain pasukan, tetapi pada masa sama kami sedar perlu memperbaiki banyak aspek terutamanya dari segi latihan yang lebih intensif untuk aksi seterusnya,” katanya selepas perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, BG Pathum United bangkit penuh dramatik dengan 10 pemain untuk menundukkan naib juara musim lalu, Cong An Hanoi FC dari Vietnam, 2-1.
Sementara itu, wakil Filipina, Dynamic Cebu FC berdepan permulaan hambar apabila tewas 1-3 kepada kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Rizal Memorial, Manila.